[VIDEO] Lelaki terkapai-kapai minta tolong ditemui maut selepas lemas di Pantai Tanjung Rhu


  • 112
  • Sabtu, 16 Dis 2023

Pasukan penyelamat ketika menemui mangsa yang maut selepas lemas di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi, Kedah pada Sabtu.

SEORANG lelaki yang dilihat terkapai-kapai meminta pertolongan di tengah laut di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi, Kedah pada Jumaat ditemui meninggal dunia akibat lemas pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari dalam satu kenyataan berkata, mayat mangsa dikenali sebagai Mohammad Khairie Shaari, 32, yang juga pekerja sebuah kedai emas di pulau legenda itu ditemukan pada pukul 6.55 petang.

Beliau berkata, mangsa ditemukan kira-kira 250 meter dari tempat dia dipercayai lemas dan pengecaman mayat telah dibuat oleh ibunya.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk proses bedah siasat.

"Operasi mencari dan menyelamat yang disertai 46 pegawai dan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.05 malam," katanya.

Pada masa sama, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi yang terlibat dalam operasi pencarian mangsa turut mengucapkan takziah buat seluruh keluarga Allahyarham.

APM menerusi Facebook rasminya berkata, mangsa lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di pantai tersebut.

"Lemas itu sebagai asbab kematian arwah Mohamad Khairie, sebenarnya dah sampai waktu ajal.

"ALLAH pinjamkan seketika untuk keluarganya. Kematian itu juga satu nasihat kepada kita yang masih bernyawa," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram