Kapal ke Israel dilarang muat kargo di Malaysia - PM Anwar


  • Primer
  • Rabu, 20 Dis 2023

Anwar Ibrahim yang melarang mana-mana syarikat perkapalan dari Israel untuk berlabuh di pelabuhan Malaysia. — Bernama

KERAJAAN Malaysia memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel berlabuh di negara ini berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa sama, kerajaan juga mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

"Sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

msg1050426791-20903

Inilah ZIM Djibouti iaitu kapal kontena milik Israel.

Beliau berkata, kerajaan yakin semua keputusan itu tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan dalam negara berkuat kuasa serta-merta.

"Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat ini berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Perdana Menteri sebelum ini berkata, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat itu berlabuh di Malaysia sebelum dibenarkan mendarat pada 2005.

"Namun, kerajaan hari ini (Rabu) memutuskan untuk membatalkan semua keputusan Kabinet lalu,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram