Dua beranak maut tersepit dalam kemalangan dengan lori 10 tan di Mersing


  • 112
  • Rabu, 20 Dis 2023

Keadaan kereta Viva yang terlibat dalam kemalangan maut di Mersing, Johor pada Rabu. — BBP Mersing

DUA orang terkorban dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Viva dengan sebuah lori 10 tan jenis Nissan UD berhampiran Ladang Paya Munis di Jalan Mersing ke Felda Nitar 1, Mersing, Johor pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, mangsa yang menaiki kereta, Zubaidah Zakaria, 32, dan Uwais Rayyan Mohamad, 4, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada kepala.

"Hasil siasatan mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu oleh Zubaidah dari arah Felda Nitar menuju ke Bandar Mersing telah hilang kawalan lalu terbabas dan berpusing, sebelum dilanggar oleh lori terbabit dari arah sama," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

msg1050426791-20877

Pihak bomba ketika melakukan operasi menyelamat. — BBP Mersing

Dalam kenyataan berasingan pada hari sama, Komander operasi, Pegawai Bomba Kanan II Anuar Hussine berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.37 pagi sebelum dua jentera 'Light Fire Rescue Tender' (LFRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 15 anggota, digegaskan ke lokasi kejadian.

"Kemalangan tersebut menyebabkan pemandu dan penumpang kereta tersepit.

"Pasukan bomba yang tiba telah menjalankan operasi penyelamatan bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa," katanya.

msg1050426791-20876

Keadaan kereta yang mengalami kerosakan teruk akibat kemalangan. — BBP Mersing

Tambahnya, jenazah Zubaidah dan Uwais Rayyan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Manakala, pemandu lori berkenaan Mohd Yazid Abidin, 40, dilaporkan hanya mengalami cedera ringan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram