[VIDEO] Polis kesan saksi nahas 3 kenderaan, pengantin baharu maut di Tanjong Karang


  • 112
  • Selasa, 19 Dis 2023

Tangkap layar video memaparkan keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Tanjong Karang, Selangor pada Ahad lepas.

PIHAK polis mengesan saksi nahas membabitkan tiga kenderaan yang mengorbankan seorang lelaki di Kilometer 53 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Batu 3, Jalan Bernam di Tanjong Karang, Kuala Selangor, Selangor pada Ahad lepas.

Mangsa, Norsyam Nasullah Rahim, 23, dikatakan baru mengadakan majlis perkahwinannya pada Sabtu.

Turut menjadi mangsa nahas adalah seorang lelaki yang parah ketika cuba mengeluarkan Norsyam Nasullah dari Perodua Bezza.

Namun, individu yang identitinya belum dikenal pasti polis itu sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa dilaporkan berkata, saksi yang mempunyai maklumat berhubung nahas itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Norasyikin Roslan di talian 010-2621743.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Pada Isnin, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.05 minit malam.

Menurutnya, seramai enam anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang tiba di lokasi kejadian.

"Kemalangan membabitkan tiga kereta iaitu sebuah Perodua Bezza, Honda City, Nissan Almera serta seorang orang awam," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahmad Mukhlis berkata, Norsyam Nassullah meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya, Aini Hayati Mohd Radzi, 22, cedera di dagu serta patah kaki.

Katanya, seramai empat mangsa menaiki Honda City dan dua mangsa Nissan Almera mengalami kecederaan, manakala orang awam membantu di tempat kejadian mengalami cedera parah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram