DBKL jelas sebab Pasar Malam AU2 Keramat diarah pindah lepas beroperasi lebih 30 tahun


  • Massa
  • Rabu, 20 Dis 2023

Antara peniaga yang membuat bantahan di Pasar Malam AU2, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memuktamadkan keputusan perpindahan peniaga Pasar Malam AU2 Keramat dalam waktu terdekat sebelum mereka diarahkan berbuat demikian pada Januari tahun depan.

Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, Ismadi Sakirin berkata, beberapa siri pertemuan dengan peniaga berkenaan dilakukan sejak tahun lepas dan penutupan tapak pasar malam itu perlu dilakukan kerana dikhuatiri mengganggu ketenteraman pihak lain, selain terdapat projek pembangunan di sekitar kawasan tersebut.

"Pihak DBKL akan sekali lagi berjumpa dengan mereka (peniaga) dan keputusan maklum balas persetujuan berpindah akan dimaklumkan kemudian,” katanya kepada pemberita di Menara DBKL, di Kuala Lumpur pada Rabu.

Pada Sabtu lepas, lebih 100 peniaga Pasar Malam AU2 Keramat mengadakan bantahan secara aman terhadap cadangan penutupan pasar malam yang beroperasi sejak 30 tahun lepas.

BACA LAGI: [VIDEO] Pasar malam berusia 3 dekad diarah tutup, peniaga minta campur tangan MP Setiawangsa

Ismadi berkata mengikut perancangan, pihak DBKL ada menyediakan lokasi alternatif kepada peniaga iaitu di Seksyen 10 Wangsa Maju, namun ia dibantah oleh sesetengah peniaga kerana mendakwa tapak baharu itu tidak berpotensi dan tidak akan mendapat sambutan.

"Jarak perjalanan antara tapak baharu dengan tapak asal Pasar Malam AU2 Keramat hanya memakan masa 10 hingga 15 minit sahaja, tetapi mungkin sudah biasa dengan tapak lama, mereka mendakwa tapak yang kita cadangkan itu kurang berpotensi.

"Ada satu tapak lain yang mereka (peniaga) cadangkan, tetapi penduduk sekitar pula mempunyai pandangan berbeza. Jadi DBKL kena mengambil kira pandangan semua pihak,” katanya.

Selain itu, Ismadi turut memaklumkan pihak DBKL juga memberi pilihan kepada peniaga Pasar Malam AU2 Keramat itu untuk mereka berniaga di tapak pasar malam lain di sekitar Kuala Lumpur. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram