[VIDEO] Pasar malam berusia 3 dekad diarah tutup, peniaga minta campur tangan MP Setiawangsa


  • Massa
  • Isnin, 18 Dis 2023

Antara peniaga yang membuat bantahan di Pasar Malam AU2, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

SERAMAI kira-kira 100 peniaga di Pasar Malam AU2, Kuala Lumpur melakukan bantahan ekoran arahan penutupan tempat perniagaan mereka pada akhir Disember ini untuk berpindah ke lokasi baharu.

Media melaporkan kumpulan tersebut tidak bersetuju dengan tempat baharu perniagaan yang dicadangkan kerana ia didakwa tidak sesuai dan bertembung dengan sebuah lagi pasar yang turut mempunyai tarikh serta waktu operasi sama iaitu setiap Sabtu.

Kumpulan peniaga tersebut berkata, situasi itu berpotensi menyebabkan peniaga terpaksa bersaing sesama sendiri dan lebih menyedihkan kehilangan pelanggan setia di Pasar Malam AU2 yang sudah bertapak di lokasi itu lebih 30 tahun.

Sehubungan itu mereka memohon Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya mempertimbang rayuan berhubung lokasi baharu yang dicadangkan Badan Bertindak Peniaga di kawasan tersebut.

Difahamkan, arahan untuk penutupan tempat tersebut sejak awal tahun ini bagi memberi laluan kepada sebuah projek pembangunan.

Dalam tempoh tersebut, perbincangan yang diusahakan antara peniaga dan pihak DBKL juga gagal untuk mencapai persetujuan antara kedua-dua pihak.

Sehubungan itu, mereka turut berharap agar isu yang dihadapi mereka itu mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram