Guna lesen isteri rakyat tempatan jadi punca warga asing monopoli perniagaan di Nilai


  • Primer
  • Khamis, 12 Okt 2023

Peniaga warga asing kini dilihat semakin memonopoli perniagaan pasar pagi dan pasar malam.

MAJLIS Bandaraya Seremban, Negeri Sembilan akan memperketat penguatkuasaan ke atas premis perniagaan bagi menangani isu warga asing berniaga menggunakan lesen atas nama isteri yang merupakan warga tempatan, Persidangan Dewan Undangan Negeri Sembilan diberitahu pada Khamis.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar berkata, masalah warga asing menguasai perniagaan juga berpunca daripada tindakan sesetengah warga tempatan menyewakan lesen perniagaan mereka kepada golongan tersebut.

"PBT (pihak berkuasa tempatan) tidak membenarkan atau memberikan lesen atas nama mereka (warga asing) untuk berniaga di mana-mana tempat, sama ada di kaki lima, pasar malam atau premis perniagaan,” katanya.

Arul Kumar berkata, dalam operasi berkala yang dijalankan pada Ogos dan September lepas, sitaan dan dua kompaun dikenakan ke atas dua pemilik perniagaan selepas didapati premis dilesenkan atas nama isteri berstatus warganegara.

"Selain itu, dalam tempoh berkenaan juga sebanyak 22 kompaun atas kesalahan sama dikenakan ke atas premis perniagaan di Nilai," ujarnya.

Tambahnya, dalam menangani isu itu, sebuah jawatankuasa khas telah diwujudkan bagi memperketat syarat lesen premis.

Pembanterasan masalah berkenaan juga memerlukan kerjasama pihak imigresen, kata beliau yang menjawab gesaan Mohamad Hanifah Abu Baker (PN-Labu) agar tindakan segera diambil terhadap peniaga warga asing yang kini memonopoli perniagaan pasar pagi dan pasar malam di negeri itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram