[VIDEO] Sering nyanyi lagu Cek Mek Molek ketika 'call' cucu, DJ Dave dedah Allahyarham Datuk M Daud Kilau suka jahit labuci


  • Hiburan
  • Selasa, 19 Dis 2023

Suasana pilu ketika pengebumian Allayarham M Daud Kilau di di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh di Bagan Datok, Perak pada Selasa. — Bernama

JENAZAH penyanyi legenda, Allahyarham Datuk M Daud Kilau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh di Bagan Datok, Perak pada 2.30 petang Selasa.

Cuaca baik mengiringi upacara pengebumian di kawasan perkuburan itu yang dihadiri kenalan rapat, saudara mara dan penduduk setempat.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Tuminah Hamidi l di sini yang diimamkan oleh imam masjid, Zulfadil Ismail serta kira-kira lebih 400 jemaah.

Sementara itu, Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave menyifatkan pemergian Allahyarham satu kehilangan besar dalam industri seni tanah air.

411857399_788280639998018_4519515061508621208_n

Sesi pengebumian Allayarham M Daud Kilau pada Selasa. — Bernama

"Saya dan Allahyarham sudah kenal sejak 50 tahun lalu. Kami banyak menyanyi dan sepentas bersama. Semasa aktif, arwah suka menjahit baju labuci yang dipakainya sekiranya perlu diubah suai ketika berada di belakang pentas.

"Sejak tiga tahun lalu YKAT memberi pencen berjumlah RM500 kepada Allahyarham sebagai menghargai sumbangannya dalam industri seni," katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, cucu Allahyarham, Norhasliyana Hassan, 33, berkata, beliau akan merindui dendangan lagu Cek Mek Molek yang sering dinyanyikan arwah datuknya menerusi panggilan telefon sebelum ini.

"Sepanjang hayatnya, atuk tidak kisah jika kami buat bising ketika di rumah, malah beliau tidak pernah memarahi kami. Saya akan merinduinya," katanya dalam nada sebak.

Norhasliyana berkata, kesihatan arwah datuknya mula merosot sejak Mac lepas dan sering keluar masuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

photo_6055246787884726340_x

Allayarham M Daud Kilau yang pernah menghiburkan rakyat Malaysia. — Bernama

Katanya, mengikut perancangan, mereka sekeluarga mahu membawa Allahyarham ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan susulan namun tidak kesampaian.

Allahyarham M Daud Kilau, 85, disahkan meninggal dunia pada 4.46 petang semalam akibat jangkitan kuman dalam darah semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan, Perak.

Pada Isnin, anak sulung Allahyarham, Noraini Muhammad Daud, 58, berkata, sepatutnya arwah bapanya perlu menjalani pembedahan kaki akibat jangkitan kuman namun terpaksa ditangguhkan.

Noraini berkata, pembedahan itu ditangguhkan disebabkan keadaan kesihatannya yang semakin merosot akibat menghadapi pelbagai komplikasi penyakit antaranya jangkitan kuman dalam darah, sakit jantung, kencing manis dan masalah buah pinggang.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Rohani Awang Ngah, 66, dan dua orang anak iaitu Noraini dan Ahmad Zaini, 52, serta sembilan cucu dan dua cicit.

Penyanyi lagu malar segar, Cek Mek Molek itu sebelum ini pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu selepas disahkan menghidap kencing manis selain sakit pinggang dan jantung tidak stabil. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram