MEMBINA nama sebagai anak seni dalam industri hiburan semestinya bukanlah sesuatu yang mudah dikecapi.
Sama seperti penyanyi berdarah kacukan Indonesia, Aisha Retno yang terpaksa melalui pelbagai onak dan duri demi mencipta namanya.
Walaupun empat tahun dilihat seperti tempoh yang singkat, namun ia bukanlah suatu perjalanan mudah buat wanita berusia 23 tahun itu.
Mengenang kembali momen dirinya baru bertatih dalam industri ini, Aisha yang mula dikenali selepas program realiti televisyen, Big Stage 2022 tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi tentang perjalanan kariernya.
Dia mengakui, banyak onak liku yang perlu ditempuhinya sebelum berjaya melakar nama di pentas antarabangsa.
Aisha pernah memukau para juri ketika bertanding dalam Big Stage 2022.
"Kalau nak ikutkan, ini tahun keempat Aisha dalam industri muzik dan banyak jatuh bangun untuk saya sampai ke titik ini.
"Sebab ramai orang yang pandang rendah dengan apa jua yang Aisha lakukan, rasa sedih itu mesti ada, tapi saya jenis suka pendam.
"Ia bukan mudah juga sebab ramai percaya dan ada yang tak percaya dengan bakat Aisha pada awalnya," katanya kepada Majoriti sambil menahan tangis.
Pada masa sama, Aisha turut berterima kasih kepada pihak yang banyak memberikan peluang dan sokongan kepadanya selama ini.
Kongsi pelantun lagu Mengikat Jiwa itu lagi, jika bukan disebabkan kepercayaan yang diberikan sebelum ini, belum tentu dia akan berada di tempatnya sekarang.
Bukan itu sahaja, pemilik nama sebenar Sharifah Aisha Reto Sayed Sipulijam itu sempat meluahkan rasa syukur selepas terpilih sebagai finalis Separuh Akhir Muzik-Muzik Ke-38 menerusi lagunya berjudul Sutera.
"Apabila dapat peluang keemasan untuk melakukan persembahan di peringkat Separuh Akhir (Muzik-Muzik Ke-38), saya sangat hargainya.
"Mungkin bagi orang (lain), ia suatu yang kecil sahaja tetapi bagi saya ini adalah karya original saya.
Aisha banyak menggunakan elemen Indonesia dalam lagunya. — Instagram/Aisha
"Saya tulis sendiri, fikir sendiri jadi Aisha rasa ia sesuatu yang sangat bernilai untuk saya," katanya lagi.
Aisha menjelaskan, dia nekad untuk berusaha lebih keras pada masa akan datang bagi membolehkannya melebarkan sayap ke peringkat yang lebih tinggi.
"Saya berharap jika ada rezeki Aisha akan cuba di pentas yang lebih besar dan terus usaha untuk kekalkan prestasi dalam industri ini," tambahnya.
Berbicara lanjut, Aisha turut memaklumkan bahawa dirinya sedang giat mempromosikan album mini terbaharunya berjudul A.R yang merujuk kepada singkatan namanya.
Album tersebut memuatkan beberapa lagu hits seperti Pencarianku, Jarak, Ternoktah, Sutera, Cukuplah dan Teduh.
Bukan itu sahaja, naskhah itu juga merupakan buah tangannya yang paling berharga untuk seluruh peminatnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram