[VIDEO] Orang ketiga tiba-tiba masuk campur 2 peniaga bergelut akibat salah faham


  • Tular
  • Jumaat, 01 Dis 2023

Tangkap layar video memaparkan dua orang lelaki yang bergelut ketika pergaduhan berlaku di Lachau, Sri Aman, Sarawak baru-baru ini.

TULAR sebuah video memaparkan pergaduhan melibatkan beberapa orang lelaki di kawasan perniagaan yang terletak di Lachau, dekat Sri Aman, Sarawak baru-baru ini.

Menerusi video yang dimuat naik di Facebook RedParrot pada Khamis, dua orang lelaki yang dipercayai peniaga di kawasan itu dilihat sedang bergelut di atas rumput.

Turut kelihatan pelbagai barang perniagaan seperti troli dan bekas simpanan barang bersepah di kawasan pergelutan mereka

Pada masa sama, seorang anggota daripada pasukan keselamatan bersama seorang wanita dilihat berlari ke arah dua orang lelaki berkenaan untuk meredakan keadaan.

Dalam video itu, anggota dan wanita tersebut cuba menarik salah seorang daripada dua individu terbabit ke tepI, Namun, keadaan menjadi lebih tegang apabila seorang lelaki berbaju merah secara tiba-tiba datang menyerang.

Lelaki itu dilihat menumbuk dan menolak salah seorang daripada dua individu yang sebelum itu sudah dileraikan.

Bukan itu sahaja, keadaan terlihat semakin kecoh apabila ditambah dengan tindakan seorang lagi individu yang mahu memukul lelaki berbaju merah itu.

Difahamkan, punca pergaduhan adalah disebabkan perselisihan faham antara beberapa peniaga di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung kejadian setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram