PENGUNJUNG berdepan detik-detik cemas apabila pusat beli-belah di Puchong, Selangor dimasuki air akibat banjir kilat yang berlaku pada Sabtu.
Menerusi video yang dikongsikan di media sosial, premis yang berada tingkat bawah pusat beli-belah itu turut ditenggelami air.
Dalam video itu, kelihatan orang ramai terpaksa meredah kawasan yang dinaiki air tersebut sambil membuka kasut.
Dalam perkembangan lain, Unit Pengurusan Bencana Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dilaporkan sudah mengeluarkan notis amaran tahap tiga atau bahaya di kawasan pusat beli-belah itu sekitar pukul 6.45 petang.
Menerusi notis itu, Unit Pengurusan Bencana MBSJ telah meminta semua agensi terlibat untuk membuat persediaan bantuan.
"Semua agensi terlibat Pengurusan Bencana diminta bersedia untuk pelaksanaan Operasi Bantuan Bencana di bawah bidang kuasa masing-masing.
"Pengguna diminta merancang dan mencari laluan alternatif bagi mengelak kawasan tersebut.
"Semu penduduk berdekatan diminta mengambil langkah berjaga-jaga dan bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram