FENOMENA ikan mati di laut atau pantai sememangnya bukan baharu dan sudah berlaku kira-kira sejak awal 2000 lagi di kebanyakan negara termasuk Jepun.
Ia dikatakan antara fenomena yang sering kali dikaitkan dengan bencana alam seperti banjir, kemarau, gempa bumi atau tsunami.
Terbaharu, Jepun dikejutkan kembali dengan kejadian tersebut selepas tularnya sebuah video memaparkan ribuan ikan sardin yang memenuhi lautan di Hakodate, Hokkaido, Jepun pada Khamis.
Menurut penduduk tempatan di kawasan itu, ia merupakan fenomena yang sangat mengejutkan serta diarahkan untuk tidak memakan ikan yang terdampar itu.
Thousands of tons of dead sardines washed ashore in Hakodate's beach on Hokkaido, Japan pic.twitter.com/gpH0mjaPcv
— Carl Zha (@CarlZha) December 7, 2023
Pada masa sama, salah seorang nelayan berumur 65 tahun berkata, kejadian sama seperti itu pernah berlaku tetapi ikan yang mati tidak sebanyak itu.
"Saya pernah melihat ikan mati akibat kekurangan oksigen di luar pantai, tetapi ini adalah kali pertama ikan sebanyak ini dihanyutkan," katanya, lapor Japan News.
Dalam pada itu, punca kejadian dikatakan masih belum dikenal pasti dan kekal misteri, manakala penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan Hakodate berkata, kesemua ikan itu berkemungkinan kekurangan oksigen ketika bergerak dalam kumpulan besar.
Sementara itu, pihak kerajaan bandar tersebut dilaporkan berkata, punca kejadian sedang dalam siasatan dan operasi pembersihan juga sedang dipertimbangkan.
Bagaimanapun, pada Februari 2023, fenomena itu juga pernah terjadi di sebuah pantai di Jepun namun jumlahnya tidaklah sebesar seperti yang ditunjukkan dalam video itu.
Bukan itu sahaja, orang ramai mula menimbulkan pelbagai persoalan dan spekulasi bahawa berlakunya pelepasan air radioaktif di kawasan tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram