SOKONGAN serta penilaian rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meningkat sejak September lepas hingga kini, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau sekali gus menolak kaji selidik yang dikeluarkan Merdeka Center sebelum ini yang melaporkan kadar penilaian kelulusan Anwar sebagai Perdana Menteri merosot kepada 50 peratus daripada 68 peratus pada Disember 2022.
Rafizi yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, berdasarkan kajian PKR, mereka mendapati sokongan rakyat dan penilaian kelulusan terhadap Perdana Menteri meningkat setelah Kerajaan Perpaduan melancarkan beberapa kertas dasar antaranya Ekonomi Madani dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) pada September lalu.
Beliau berkata, sememangnya pada Mei hingga Ogos lepas, sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan rendah akibat kejatuhan mata wang serta kononnya Kerajaan Perpaduan akan tumbang seperti dimainkan oleh pembangkang.
Rafizi Ramli ketika sidang media di Putrajaya pada Sabtu. — Bernama
"Kerajaan Perpaduan dan kepimpinan Anwar berada pada keadaan paling stabil kerana politik dalamannya stabil. Sokongan rakyat itu, walaupun bersifat 'status quo', naik sedikit seperti satu atau dua peratus tetapi ia melawan trend.
"Kami bimbang dulu dari Mei, Jun dan Julai menuju ke pilihanraya negeri, sokongan menurun kerana dimainkan faktor mata wang jatuh dan sebagainya namun sejak itu ia telah meningkat selepas beberapa siri dokumen dasar dan ia kekal begitu.
"Menuju ke hadapan melihat kesemua elemen itu, Kerajaan Perpaduan kukuh dan sokongan orang awam dan rating kelulusan sedang meningkat," katanya pada sidang media selepas merasmikan secara serentak Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Rafizi berpendapat bahawa kaji selidik Merdeka Center itu tidak bersandarkan dapatan yang penting terhadap rakyat mahupun kerajaan.
"Saya mempunyai banyak sebab untuk optimistik tentang kestabilan politik menuju ke depan kerana kami mempunyai kelebihan. Cabaran sekarang ialah menterjemahkan daripada angka (ekonomi) utama yang baik kerana angka ekonomi utama telah bertambah baik.
Pertumbuhan untuk kali pertama dalam empat, lima dan enam tahun. Saya rasa kita telah melihat pertumbuhan suku ke suku yang belum pernah terjadi sebelum ini, inflasi telah menurun kepada terendah 1.8 peratus dan 2024 dijangka akan lebih baik kerana luaran ekonomi global yang lebih baik," katanya.
Rafizi turut berkata, kaji selidik perlu dilihat secara siri masa dan untuk menilai suasana sebenar, sokongan rakyat terhadap Anwar perlu dibandingkan dengan pola sokongan rakyat terhadap beberapa bekas Perdana Menteri sebelum ini.
"Kita ada tiga Perdana Menteri selepas Datuk Seri Najib Tun Razak, kemudiannya Tun Dr Mahathir Mohamad, diikuti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Polanya sama, iaitu polanya bermula dengan sokongan tinggi, kemudian secara mendadak, selepas enam bulan dan setahun ia (sokongan) menurun dan ini bukan perkara asing sebab itu laporan (kajian) itu perlu dibaca dan difahami dalam konteks yang betul.
"Kerana apabila sesuatu kerajaan ambil alih maka bila ke arah pertengahan penggal, popularitinya mulai jatuh," katanya lagi. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram