PIHAK polis sedang meneliti rakaman kamera papan pemuka (dashcam) daripada sebuah kereta yang terletak berhampiran kawasan penemuan mayat Zayn Rayyan Abdul Matiin
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, terdapat pergerakan telah dikesan dalam rakaman tersebut.
"Kami perlu menyiasat perkara itu dengan teliti. Kami tidak dapat mendedahkan lebih lanjut buat masa ini.
“Sama ada pergerakan itu melibatkan penduduk atau individu lain, kami sedang menelitinya dengan lebih lanjut,” katanya ketika dihubungi The Star pada Selasa.

Penyiasatan terhadap kes pembunuhan Zayn Rayyan yang masih berjalan.
BACA LAGI: Kes bunuh Zayn Rayyan, polis kumpul DNA 228 penduduk Apartment Idaman
Beliau berkata, keputusan saringan asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan di Pangsapuri Idaman di Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor di mana Zayn Rayyan tinggal bersama keluarganya juga akan dimaklumkan dalam masa dua hingga tiga hari.
"Secara keseluruhan, 228 sampel DNA telah dikumpul," katanya.
Pada 6 Disember, Zayn yang juga seorang kanak-kanak autisme berusia enam tahun ditemui maut kira-kira 34 jam selepas kehilangannya dilaporkan.
Mayatnya ditemui di sungai berhampiran rumahnya kira-kira pukul 10 malam Khamis.
Sementara itu, berdasarkan hasil bedah siasat, pihak polis menyatakan bahawa mangsa dipercayai telah dibunuh.
Bagaiamanapun, siasatan lanjut masih berjalan dan operasi menjejaki suspek juga sedang giat dilakukan oleh pasukan penyiasat. — The Star/Justin Zack
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
