PERKHIDMATAN tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Komuter Lembah Klang, Selangor dan Tren Elektrik (ETS) mengalami gangguan perjalanan disebabkan kren tumbang berhampiran landasan pada Selasa.
Bagaimanapun, KTMB dalam satu kenyataan tidak menyatakan lokasi insiden tersebut malah menjelaskan kejadian tersebut telah menyebabkan kedua-dua landasan bagi laluan Rawang-Tanjong Malim, Perak terhalang.
Susulan kejadian itu, perkhidmatan Komuter sektor Tanjong Malim-KL Sentral-Tanjong Malim akan ditamatkan di Serendah manakala perkhidmatan ETS akan dimaklumkan kelak.
"Insiden ini akan mengambil masa untuk dipulihkan kerana alat talian atas terputus,” menurut kenyataan itu.
Justeru, KTMB menyediakan perkhidmatan bas kepada penumpang perkhidmatan Komuter Lembah Klang bagi perjalanan pergi dan balik laluan Sungai Buloh ke Serendah manakala laluan KL Sentral-Sungai Buloh-Tanjung Malim untuk penumpang ETS.
"Pihak KTMB akan melaporkan perkembangan terkini situasi dari semasa ke semasa dan memohon maaf atas kesulitan yang berlaku,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
