SEORANG wanita dilaporkan maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan lain yang terbabas dari arah bertentangan dalam kemalangan di Jalan Lintas, berhampiran City Mall, Kota Kinabalu, Sabah, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati, kereta pacuan empat roda dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun bergerak dari arah Penampang ke Kolombong.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, ketiga-tiga mangsa bersama enam ahli keluarga lain yang menaiki Proton Iswara dilaporkan mengalami kecederaan parah.
Katanya, kereta Proton Iswara yang dinaiki sembilan individu termasuk dua bayi kembar dan tiga kanak-kanak bergerak dari arah bertentangan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan Toyota Hilux dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan dan merempuh Proton Iswara berkenaan.
“Akibat rempuhan itu, wanita yang duduk di penumpang hadapan Proton Iswara disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya.
Mangsa wanita yang dikenali sebagai Asmidah Junaidi bagaimanapun disahkan meninggalkan dunia di lokasi kejadian manakala anak dan anak saudara lelaki berusia lima bulan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII).
Mohd Zaidi berkata, mangsa lain yang turut parah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan HQEII untuk rawatan lanjut.
Katanya, kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu Toyota Hilux yang gagal mengawal kenderaan serta memandu secara merbahaya.
“Pemandu pacuan empat roda turut mengalami kecederaan di muka dan tangan. Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis juga sudah mengambil spesimen darah daripada pemandu Toyota Hilux untuk dianalisa kandungan alkohol oleh Jabatan Kimia,” katanya lagi.
Sementara itu, insiden berkenaan turut dirakam oleh kamera belakang sebuah kenderaan yang lalu di lokasi kejadian.
Menerusi klip berdurasi 15 saat itu, kenderaan pacuan empat roda itu dilihat terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta mangsa.
Ekoran daripada kemalangan itu, kenderaan mangsa dilihat remuk di bahagian depan.
Pada masa sama, di ruangan komen, rata-rata netizen mendakwa bahawa tempat tersebut sememangnya lokasi sering berlakunya kemalangan.
"Jalan sana memang panas. Ada sahaja kemalangan berlaku. Takziah kepada keluarga dan rakan mangsa," tulis Fedelina Loj.
"Ni tempat memang keras. Selalu ada sahaja kemalangan maut di sini," ujar Hanna Teh II.
"Yang lalu sini semua bawa laju. Jumaat lepas masa lalu pun ada kemalangan masa awal pagi," kata Flo Re Nce. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram