[VIDEO] Niat nak konvoi, kakak maut adik parah motosikal bertembung lori di Muar


  • 112
  • Ahad, 10 Dis 2023

Tangkap layar kejadian kemalangan membabitkan sebuah motosikal bertembung dengan sebuah lori di Jalan Bukit Mor, Padang Jawa pada Ahad.

SEORANG wanita maut selepas motosikal yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Jalan Bukit Mor, Parit Jawa, Muar, Johor pada Ahad.

Mangsa yang dikenali sebagai Norlyana Sharif, 37, meninggal dunia selepas terperosok bawah lori manakala adiknya, Mohd Khairul Amri, 27, mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan berlaku ketika lori dipandu lelaki berusia 31 tahun dari arah Parit Jawa ke Ayer Manis, Johor.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, motosikal ditunggang Norlyana dilaporkan terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh lori terbabit.

“Arwah mengalami kecederaan parah di kepala manakala adiknya mengalami patah kedua-dua kaki dan cedera kedua-dua tangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Raiz Mukhliz berkata, penunggang itu kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan, manakala abangnya dibawa ke Hospital Muar, Johor.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Jalan dan Pengangkutan kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau berbahaya.

Pegawai Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Fettry Mahat berkata, sebanyak sembilan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram