SATU kemalangan ngeri dilaporkan berlaku melibatkan sebuah motosikal yang merempuh bahagian belakang lori treler dalam kejadian pada awal pagi Khamis di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Senawang, Negeri Sembilan.
Lebih mengejutkan, pemandu lori terbabit tidak menyedari mengenai kemalangan tersebut yang menyebabkan motosikal berkenaan melekat di bahagian belakangnya.
Situasi itu menyebabkan yang pemandu tersebut meneruskan perjalanan sejauh kira-kira dua kilometer sebelum mula menyedari mengenai motosikal yang melekat di bahagian belakang lori berkenaan.
Difahamkan, ekoran rempuhan yang berlaku, penunggang motosikal terbabit terjatuh di lokasi dan mengalami kecederaan parah.
Video mengenai insiden tersebut dikongsikan sendiri individu dipercayai pemandu lori berkenaan menerusi akaun TikToknya yang menggunakan nama, mieyrol_pjt02.
"Dugaan pukul 1 pagi, motor langgar belakang lori di lebuh raya Seremban. Aku heret motor melekat belakang lori 2km sampai susur keluar Senawang.
"Terima kasih yang mana bagitahu tadi, kalau tidak memang saya tak perasan motor melekat dekat belakang lori tadi.
"Pemilik motor dah jatuh dulu masa langgar," tulisnya.
Menerusi ruangan komen, pemandu lori terbabit turut memaklumkan bahawa penunggang motosikal itu difahamkan mengalami kecederaan parah di kepala dan muka.
Katanya, penunggang motosikal tersebut juga dikatakan agak bernasib baik kerana lori yang berada belakang ketika kejadian sempat mengelak daripada melanggar mangsa yang terjatuh di atas jalan.
Setakat laporan ini ditulis, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram