[VIDEO] Sah positif syabu, polis Taiping tahan pemandu lori punca kematian pelajar tingkatan 4


  • 112
  • Jumaat, 08 Dis 2023

Mangsa yang maut selepas terlibat dalam kemalangan di Taiping, Perak pada Jumaat. — Facebook

SEORANG pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal perempuan 16 tahun di Jalan Kuala Sepetang-Taiping, Perak pada Khamis berjaya diberkas polis selepas didapati positif dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan orang awam berhubung satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lori dan motosikal pada kira-kira pukul 3.15 petang.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku apabila lori dipandu lelaki berumur 27 tahun telah membelok ke simpang sebelah kiri jalan untuk menghala ke Taman Kota Barat.

msg1050426791-19961

Mangsa yang maut dalam kemalangan tersebut. — Facebook

“Ia menyebabkan seorang pelajar perempuan tingkatan empat berketurunan Pakistan dari arah Air Kuning menuju Sekolah Menengah Kebangsaan Dr Burhanuddin (SMKDB) terkejut dan terbabas.

“Motosikalnya telah menggelongsor masuk ke bawah lori, manakala mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Razlam berkata, ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori kemudiannya mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Polis telah menahan pemandu itu dan permohonan reman akan dibuat pada Jumaat di Mahkamah Majistret Taiping bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol hingga sebabkan kematian,” katanya lagi.

Sementara itu, tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping, Inspektor Abdul Mu’iz Riduan di talian 011-2098 7354 bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram