[VIDEO] Agong sempurnakan perasmian pemasangan landasan pertama ECRL


  • Primer
  • Isnin, 11 Dis 2023

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin dan Tunku Azizah berkenan mencemar duli menyaksikan proses pemasangan landasan pertama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selepas menyempurnakan gimik perasmian pemasangan landasan tersebut di Tapak Stesen ECRL Seksyen 10, Gebeng pada Isnin. — Bernama

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Pemasangan Landasan Pertama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kuantan, Pahang, pada Isnin.

Majlis yang berlangsung di Tapak Stesen ECRL Seksyen 10 di Gebeng turut menyaksikan keberangkatan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Duta Besar China Ke Malaysia, Ouyang Yujin; Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) selaku pemilik projek ECRL, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Pengerusi China Communications Construction Company Ltd (CCCC), Wang Tongzhou dan Menteri Besar dari tiga negeri Pantai Timur, yang menjadi jajaran ECRL.

CCCC merupakan kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan ECRL, yang melibatkan jajaran sepanjang 665 kilometer (km) dengan keseluruhannya mempunyai 20 stesen termasuk 10 stesen penumpang dan 10 stesen gabungan penumpang serta kargo.

Projek mega yang dirasmikan pada 9 Ogos 2017 dengan anggaran kos bernilai RM50 bilion itu dijadualkan beroperasi pada Januari 2027 dan menawarkan perkhidmatan keretapi penumpang pada kelajuan 160km/j serta keretapi kargo dengan kelajuan 80km/j.

Wang Tongzhou dalam kenyataan yang diedarkan kepada media berkata majlis pelancaran itu juga merealisasikan era baru untuk proses pembinaan infrastruktur mega keratapi ECRL di Malaysia.

"Pemasangan landasan yang dilancarkan menandakan komitmen kami untuk meraikan Malaysia dengan kemajuan, inovasi, dan integrasi ketersambungan mobiliti yang bermakna,” katanya.

Perasmian pada Isnin itu menjadi titik permulaan penting untuk pemasangan landasan sepanjang 94 km dari stesen Bandar Pelabuhan Kuantan (KPC) di Gebeng ke Dungun, Terengganu yang dijangka mengambil masa antara tiga ke empat bulan untuk dilengkapkan.

Pemasangan landasan seterusnya akan melibatkan stesen KPC ke Temerloh, dekat sini dan menuju ke arah utara dari Dungun ke Kota Bharu, Kelantan sebelum diakhiri dari Temerloh ke Jalan Kastam, Selangor.

Proses pemasangan menggunakan alat canggih iaitu Mesin Pemasangan Trek CCPG500A, bersama Long Welded Rail (LWR) sepanjang 500 meter dan pre-stressed mono-block sleepers bagi memastikan pembentukan asas yang kukuh, selain dapat mengurangkan getaran semasa keretapi beroperasi bagi keselesaan penumpang.

Peralatan itu juga membolehkan pemasangan landasan berjalan antara 1.5km ke 2.5km sehari, iaitu peningkatan ketara berbanding kaedah kovensional, yang hanya boleh memasang landasan trek antara 500 ke 700 meter sehari. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram