
CHINA Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) bersama Malaysian Rail Link (MRL) menyumbangkan sebanyak 800 set bantuan bencana banjir kepada mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Projek merangkap Ketua Jurutera CCCECRL, Deng Bo berkata, sumbangan tersebut sebagai komited syarikat itu dalam membantu mangsa banjir melalui usaha-usaha yang berterusan.
“Kami menzahirkan rasa simpati terutamanya kepada semua yang terkesan dalam bencana ini.
“CCCECRL akan sentiasa bersama dengan mangsa banjir Pantai Timur, termasuk memberikan bantuan dalam apa jua keadaan serta bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk memantau situasi banjir,” katanya menerusi kenyataan.
CCCECRL juga menyediakan tiga trak daripada Seksyen 3 untuk membantu proses pengagihan bantuan kepada mangsa-mangsa di Hulu Setiu, Terengganu melalui kerjasama erat dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu.
Bahagian Seksyen 3 juga menyediakan tiga lagi trak untuk membantu memindahkan mangsa banjir dari Taman Desa Tanjung Damai, Kuala Nerus ke Sekolah Kompleks Gong Badak.
Bahagian Seksyen 3 juga mengambil bahagian dalam memindahkan mangsa-mangsa yang terjejas dengan sumbangan bantuan seperti tilam, peralatan tempat tidur, makanan serta bekalan kecemasan lain.
Manakala, Seksyen 2 mempersiapkan 28 trak dan 32 sukarelawan untuk membantu serta menyelamatkan mangsa banjir di Pasir Puteh, Besut dan Setiu di Kelantan dan Terengganu beberapa hari lalu dalam sebuah operasi menyelamat yang telah mengambil masa 11 jam.
Bahagian Seksyen 4 pula menyumbangkan bekalan bantuan seperti tilam, peralatan tempat tidur dan makanan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram