'Jangan amal budaya selesa', PM Anwar mahu penjawat awam teruskan prestasi cemerlang ke 2024


  • Primer
  • Isnin, 11 Dis 2023

Anwar bersalaman bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga JPM di Dewan De' Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya pada Isnin.

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perjumpaan bersama penjawat awam menuju tahun baharu pada Isnin, mahu prestasi cemerlang penjawat awam diteruskan tahun hadapan dengan menerapkan nilai baik dalam pentadbiran dan tidak mengamalkan budaya selesa.

Berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Disember di Putrajaya, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, nilai baik yang mendasari Malaysia Madani, mampu mengangkat martabat dan darjat negara.

"Kalau kita ada nilai (baik) kita terapkan dalam Madani, saya yakin kita boleh angkat kerajaan dan hentikan kelemahan lampau.

"Kita bina daripada kekuatan itu dan kita tinggalkan berlebih-lebihan yang berlaku, mudah-mudahan kita tutup labuh tirai 2023 dengan semangat bersama dan membuka lembaran baru sejarah negara,” katanya.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed.

PUTRAJAYA, 11 Dis -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dewan De' Seri Endon, Puspanitapuri hari ini.Turut sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali (kanan).--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Anwar (tengah) menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dewan De' Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya pada Isnin. — Bernama

Anwar berkata, penjawat awam tidak seharusnya ada budaya terlalu selesa, sebaliknya perlu sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik dan cemerlang.

Justeru, beliau mahu penjawat awam untuk sentiasa memperbaiki diri dan mencari ikhtiar meningkatkan prodktiviti, serta mengelakkan daripada kelemahan dan kekurangan.

"Itu yang saya usulkan dari awal supaya budaya dalam politik dan penjawat awam, memberi ruang mendengar pandangan, teguran, malah kritikan yang membina.

"Baiknya kalau ikut budaya masyarakat kita, orang umumnya bertanya kadang-kadang soalannya agak kritikal tapi sopan, kerana soal nilai dan akhlak itu dipertahankan,” katanya.

Anwar berkata, dalam usaha negara untuk menggapai langit bagi mencapai kemajuan dalam beberapa bidang baharu seperti kecerdasan buatan, digital dan tenaga baharu, penjawat awam perlu menjadikan asas agama, akhlak, budaya dan nilai untuk mengakar bumi.

"Sekurang-kurangnya kita dah bagi garis urutan keutamaan bahawa sementara kita menggapai langit...tapi kita harus sentiasa mengakar bumi.

"Yang kita nak mengapai ke langit itu ialah idealisme baru, perubahan teknologi, digital dan sebagainya, carilah jalan dan ikhtiar supaya kita dapat mengangkat dan kembalikan maruah kepada bangsa dan negara Malaysia tercinta,” katanya yang percaya kapasiti penjawat awam mampu mengangkat keupayaan transformasi ekonomi dan sosial. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram