[VIDEO] Rombakan Kabinet perlu, menteri jangan terlalu selesa — PM Anwar


  • Primer
  • Selasa, 05 Dis 2023

Anwar ketika siaran langsung Program Wawancara Khas Bersama PM pada Selasa.

KABINET akan dirombak jika perlu. Demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya prestasi menteri dilihat meleset atau wujudnya keadaan lain yang dijangka dilakukan sebelum akhir 2023.

Anwar berkata, sedikit penyesuaian Kabinet boleh dilakukan, termasuk menambah jumlah Jemaah Menteri.

Bagaimanapun beliau berkata, tidak adil untuk Jemaah Menteri dinilai hanya dalam waktu setahun kerana tempoh itu dilihat terlalu awal.

"Rombakan itu perlu, sekiranya prestasi menteri meleset ataupun keadaan lain yang menuntut. Umpamanya kita ini terbentuk dengan koalisi (gabungan). Jadi, rundingan perlu diadakan. Penyertaan harus setimpal dengan kekuatan parti masing-masing.

"Semua itu mesti ambil dikira. Saya kira tidak lama lagi. Saya diberitahu oleh seorang anak kecil yang memberi nasihat di depan masjid, Akmal, tak salah saya, dia kata sebelum akhir tahun. Jadi, saya setuju.

msg1050426791-19852

Penambahan Menteri yang dikatakan akan dilakukan dalam masa terdekat. Berita Harian

"Tetapi saya tidak fikir setelah setahun kita membuat penilaian yang adil. Orang perintah 10 tahun, tiga tahun, namun setahun terlalu awal. Jadi, menteri perlu diberi peluang meningkatkan prestasi termasuk perdana menteri dan kalau ada sedikit penyesuaian berdasarkan pengalaman setahun, kita akan lakukan termasuk menambah," katanya pada Wawancara Khas Setahun bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri pada Selasa.

Pada masa sama, Anwar berkata, anggota Jemaah Menteri dinasihat tidak berasa selesa dengan prestasi dicapai Kerajaan Perpaduan selepas setahun menerajui pentadbiran negara.

Sebaliknya, beliau menyatakan bahawa Kabinet perlu mengutamakan keselesaan yang akan dinikmati rakyat, sekali gus menjadi ukuran sebenar pencapaian Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Jemaah Menteri perlu berusaha sedaya upaya untuk memberi khidmat terbaik kepada semua lapisan masyarakat Malaysia dan tidak hanya memberi tumpuan kepada aspek pertumbuhan ekonomi semata-mata.

"Kadang-kadang apabila jadi pemimpin, semuanya (rasa) terbaik. Sistem pendidikan semuanya nombor satu, kesihatan terbaik. Kita dengar dulu, tetapi sebenarnya bila lihat kenyataan, tandas pun tak dapat dibaiki. Sekolah pun banyak yang robek.

"Jangan kita termakan dengan penyakit keselesaan. Kalau tanya saya, kita buat sedaya upaya tetapi jangan (rasa) ini sudah terlalu baik. Ada lagi keupayaan kita untuk membersihkan dan meningkatkan mutu dan etika kerja kerana akhirnya bukan angka pertumbuhan yang disebutkan.

"Kadar inflasi rendah. Tidak siapa boleh pertikai walaupun kita disanggah sebagai gagal, tetapi ternyata kadar inflasi, pertumbuhan dan pengangguran adalah lebih baik," tambahnya.

Dalam pada itu, Kerajaan Perpaduan berlandaskan Ekonomi Madani menumpukan kebijakan ekonomi bagi meningkatkan pertumbuhan telah membawa hasil terutama dalam sektor baharu seperti digital, tenaga hijau dan tenaga boleh baharu.

Anwar berkata, pertumbuhan ekonomi negara turut dibuktikan menerusi peningkatan kemasukan pelaburan asing dengan nilai yang lebih tinggi berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram