Beri peluang Anwar Ibrahim bukti kemampuan — Sultan Johor


  • Primer
  • Ahad, 10 Dis 2023

Sultan Ibrahim (tengah) ketika berkenan menghadap Anwar (kiri) pada April lalu. — Bernama

PADA November lalu, genap sudah Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan tugasnya sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia.

Pelbagai onak dan duri yang ditempuhi beliau sepanjang membawa Kerajaan Madani sehingga ke peringkat global.

Justeru, kesemua usaha dilakukan itu perlu dilihat dan dipertimbangkan tidak kira berapa lama tempoh masa yang diambil bagi memperlihatkan hasilnya.

Ia juga selari dengan tuntutan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menggesa seluruh rakyat Malaysia memberi peluang kepada Anwar agar dapat membuktikan kemampuan dirinya sebagai Perdana Menteri.

Screenshot (21)

Sultan Ibrahim (dua dari kanan) ketika berkenan menghadap Anwar (baju Melayu biru) pada 30 Disember 2022. — Bernama

Menerusi temu bual eksklusif bersama The Straits Times Singapura, Sultan Ibrahim bertitah, ia sangat mustahil untuk Anwar membuat perubahan mendadak dalam tempoh setahun.

“Saya tidak fikir anda boleh menukar negara dalam satu tahun. Saya fikir (Kerajaan Perpaduan) ada menteri yang baik seperti (Menteri Pengangkutan) Anthony Loke.

“Saya akan menyokong kerajaan, namun jika saya fikir mereka melakukan sesuatu yang tidak wajar, saya akan memberitahu mereka,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda tidak menjangkakan akan ada masalah bekerja dengan Anwar kerana beliau mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri.

Screenshot (22)

Anwar yang sudah menjadi Perdana Menteri ke-10 selama setahun. — Bernama

Titahnya lagi, Anwar juga kadangkala menghubunginya untuk mendapatkan nasihat walaupun pada tengah malam.

Sementara itu, pada 27 Oktober lalu, Sultan Ibrahim telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 sekali gus menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang yang berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dilaporkan berkata, pelantikan baginda selama lima tahun itu berkuat kuasa pada 31 Januari 2024.

Pada masa sama, Majlis Raja-Raja juga bersetuju mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong selama lima tahun mulai dari tarikh sama. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram