Polis sahkan mayat wanita disimen dalam kolam di Klang rupanya kekasih suspek utama


  • 112
  • Sabtu, 09 Dis 2023

Dua suspek dipercayai terlibat dalam kes kematian seorang wanita yang disimen dalam sebuah kolam dekat Kampung Pendamar, Klang, Selangor. — PDRM

POLIS Selangor pada Sabtu mengesahkan wanita yang disimen dalam kolam sebuah rumah di Kampung Pendamar, Klang, Selangor pada minggu lepas merupakan kekasih suspek utama iaitu Mandeep Singh, seorang warga India.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa yang juga dikenal pasti sebagai warga India berusia 30-an, menetap di rumah tersebut bersama Mandeep Singh yang kini sedang diburu polis.

"Wanita yang berketinggian 1.60 meter itu, dipercayai telah dibunuh sebelum disimen di lokasi tersebut. kita masih siasat berkaitan itu.

"Butiran suspek (Mandeep) telah diketahui dan waran tangkap akan diperolehi. Pihak polis juga akan minta bantuan Pesuruhjaya Tinggi India dan pihak polis negara itu untuk mengesan dan tangkap suspek ini," katanya.

Hussein berkata, setakat ini pihak polis telah merekodkan keterangan daripada 10 individu.

Pada 4 Disember lepas, polis mengesahkan penemuan mayat dalam keadaan disimen dalam sebuah kolah di sebuah rumah dekat Kampung Pendamar dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis juga sedang mengesan dua lelaki warga asing iaitu Ranjit Singh dan Mandeep Singh yang merupakan penyewa di rumah berkenaan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram