NASIB malang menimpa seorang kanak-kanak perempuan apabila digilis sebuah kenderaan ketika sedang bermain bersama rakannya di sebuah jalan raya dekat Jl Kembangan Selatan, Jakarta Barat, Indonesia.
Ketika kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Adelio Cetta, 5, difahamkan sedang leka bermain ketika dilanggar kereta jenis Honda CRV berwarna putih tersebut.
Malah, pemandu yang ingin menggerakkan keretanya keluar dari kotak parkir tersebut juga dikatakan tidak menyedari kewujudan kanak-kanak itu dan sekali gus mengakibatkan berlakunya perlanggaran di situ.
Isu itu difahamkan berlaku pada 2021 namun, rakaman kejadian kembali tular sejak Khamis dan hangat diperkatakan warganet yang cukup terkesan dengan tragedi tersebut.
Tersentak dengan insiden berkenaan, pelaku kemudiannya terus turun dari keretanya dan membantu mangsa.
Kejadian tersebut turut dibantu seorang wanita yang terdengar jeritan rakan kanak-kanak terbabit dan mangsa ditukarkan persalinan baju yang lain sebelum dibawa ke Hospital Puri Indah, Indonesia.
Ketua Pesuruhjaya Polis Trafik Jakarta Barat Purwanta berkata, mangsa telah diberikan rawatan di hospital dan kes berkenaan dikendalikan oleh Polis Trafik Jakarta Barat, Indonesia.
Meskipun kejadian itu berlaku pada tahun lalu, namun ia patut dijadikan pengajaran buat ibu bapa di luar sana agar sentiasa memerhatikan anak-anak walau di mana juga mereka berada. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram