[VIDEO] Polis guna dron dalam siasatan kes bunuh Zayn Rayyan


  • 112
  • Jumaat, 08 Dis 2023

Dron yang digunakan oleh pasukan penyiasat bagi mencari petunjuk baharu berkenaan kes pembunuhan Zayn Rayyan. — Bernama

PASUKAN penyiasat kes kematian kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, menggunakan dron di sekitar kawasan aliran anak sungai dan belukar di belakang Blok R Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor bagi mencari petunjuk baharu kes itu.

Pemantauan Bernama di lokasi kejadian pada Jumaat mendapati, pasukan khas berkenaan tiba di lokasi kejadian kira-kira 5 petang sebelum menerbangkan dron untuk mengenal pasti laluan keluar masuk yang digunakan oleh suspek untuk membuang mayat kanak-kanak berusia enam tahun itu.

msg1050426791-19993

Operasi pencarian mangsa sebelum ditemui maut di kawasan kediamannya pada Khamis.

Selain itu, pasukan penyiasat dilihat turut melakukan rondaan di sekitar kawasan penemuan mayat dan menemu bual beberapa penduduk.

Walaupun keadaan cuaca yang tidak menentu, lokasi kejadian terus menjadi tumpuan media yang berkampung sejak pagi tadi bagi mengetahui dan melaporkan perkembangan terbaharu berhubung kes bunuh yang menyayat hati itu.

Pada pagi Jumaat, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Fakhrudin Abd Hamid turut meninjau kawasan kejadian dan memaklumkan pihaknya telah mengambil keterangan kali kedua daripada ibu bapa pada Khamis, selain keterangan penjaga dan individu pertama yang menjumpai mayat Zayn Rayyan.

msg1050426791-19994

Pihak polis giat melakukan penyiasatan di sekitar lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan. — Bernama

Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh mangsa, dipercayai mempunyai kaitan dengan perbuatan jenayah.

Sementara itu, pada Rabu, mayat mangsa ditemukan terbaring berhampiran aliran sungai yang terletak pada jarak hampir 200 meter dari blok kediamannya di apartmen berkenaan, Rabu lepas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram