Kes Zayn Rayyan: Tiada CCTV di lokasi, polis sekali lagi rakam keterangan ibu bapa, individu pertama jumpa mayat


  • Massa
  • Jumaat, 08 Dis 2023

ZAYN Rayyan yang ditemukan meninggal dunia di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya dipercayai dibunuh selepas proses bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak malang itu.

LOKASI berhampiran tempat penemuan mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor, tidak dilengkapi dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV).

Wakil badan pengurusan bersama pangsapuri itu berkata, blok bangunan di kawasan perumahan tersebut hanya dilengkapi dengan empat kamera.

Ia terdiri daripada kawasan di di pintu masuk, pintu keluar, laluan pejalan kaki Blok J dan berhampiran surau.

“Tiada CCTV lain yang kami pasang secara rasmi kerana ini adalah pangsapuri kos rendah, dengan kos operasi kamera RM33.60," katanya menurut laporan The Star.

Bagaimanapun, Nor Haizam memaklumkan, terdapat penduduk yang menggambil insiatif sendir dengan memasang kemudahan tersebut di 18 blok yang terdapat di Pangsapuri Idaman berkenaan.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, mayat kanak-kanak malang itu juga ditemui di kawasan yang berada di luar bidang kuasa pengurusan.

Disebabkan itu, dia tidak dapat mengesahkan sama ada tanah itu milik kerajaan atau pemilik persendirian.

"Jika ada kanak-kanak bermain di sana mungkin mereka yang tinggal di Blok R sahaja yang tahu," katanya.

Dalam pada itu, polis dilaporkan sekali lagi mengambil keterangan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin pada Khamis bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abd Hamid berkata, polis juga akan merekodkan keterangan beberapa pihak lain termasuk pengasuh Zayn Rayyan dan individu pertama yang menjumpai mayat kanak-kanak itu di aliran sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Rabu lepas.

"Kita (polis) dalam proses mendapatkan keterangan secara fizikal dan apa-apa yang boleh membantu siasatan bagi mengesan suspek.

"Siasatan untuk mencari bukti juga akan tertumpu kepada keseluruhan kawasan apartmen ini dengan keluasan kira-kira lapan hektar selain terhadap penghuni Blok R di Apartment Idaman yang berada dekat dengan lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

2426847 (1)

Polis dilaporkan sekali lagi mengambil keterangan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin pada Khamis bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme itu.

Beliau yang sebelum itu turut meninjau lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan memaklumkan setakat ini belum ada sebarang rumusan berkaitan kes berkenaan berikutan keputusan bedah siasat baharu diperoleh semalam.Mohd Fakhrudin berkata Apartment Idaman mempunyai 18 blok dan lebih 2,400 unit rumah.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan dikawal pihak polis dengan pita kuning larangan melintas dipasang di kawasan belukar dan anak sungai selain di Blok R di Apartment Idaman untuk mengelak gangguan di kawasan kejadian.

Pasukan penyiasat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman turut kelihatan berada di kawasan kejadian sejak 9.30 pagi bagi mempergiat usaha mencari bukti terbaharu bagi melengkapkan siasatan.

Pada Khamis, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan Zayn Rayyan yang ditemukan meninggal dunia di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya dipercayai dibunuh selepas proses bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak malang itu.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dibunuh di lokasi lain dan dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh 48 jam sebelum mayatnya diletakkan di anak sungai terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram