[VIDEO] Zayn Rayyan dibunuh: Polis 'check' setiap rumah di Damansara Damai


  • Massa
  • Jumaat, 08 Dis 2023

Tangkap layar video memaparkan kehadiran pihak polis yang mengawal ketat di kawasan perumahan mangsa dekat Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis malam.

PIHAK polis kini dilaporkan sedang giat memburu suspek dipercayai terbabit dalam kematian kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Difahamkan, kawalan ketat turut dilakukan di lokasi kejadian dan juga tempat kediaman keluarga kanak-kanak tersebut di Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor sejak Khamis malam.

Perkembangan itu dikongsikan menerusi beberapa video yang dimuat naik di media sosial oleh orang awam.

Ia memaparkan kehadiran jumlah anggota polis yang agak ramai di seluruh kawasan itu.

"Damansara Damai, polis periksa setiap rumah," tulis kasyen pada video berkenaan.

BACA LAGI: Zayn Rayyan dibunuh di tempat lain sebelum diletak di tepi sungai — Polis

Pada Khamis, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil bedah siasat pada Khamis mendapati kanak-kanak berusia enam tahun yang dipercayai dibunuh itu meninggal dunia dalam tempoh 48 jam sebelum mayatnya ditemukan.

Malah ujarnya, mangsa juga berkemungkinan tidak meninggal dunia di lokasinya ditemui, iaitu di tepi sungai berhampiran kawasan perumahan tersebut.

Sebaliknya, Mohd Shuhaily berkata, pihak polis merumuskan mangsa berkemungkinan meninggal dunia di tempat lain sebelum diletakkan di kawasan tersebut.

Menurut beliau, hasil proses bedah siasat, selain kecederaan di leher dan badan mangsa, terdapat juga kecederaan mempertahankan diri.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan suspek dalam kejadian ini melibatkan individu yang tinggal di kawasan kejadian, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

zayn rayyan

'Zayn Rayyan seorang yang lembut-selembutnya, macam bayi baru lahir'

Dalam pada itu, ketika ditemu bual Awani, pengasuh kepada Zayn Rayyan, Auni Afiqah Abas, mengakui kadang-kala terbungkam dengan apa yang berlaku.

Bagi Auni, kehilangan itu benar-benar perit untuk diterimanya.

“Saya berdiri di tengah-tengah blok R tu, saya jerit Zayn... Zayn sekuat hati.”

Itu yang dilakukannya sebaik turun sama-sama mencari anak istimewa itu.

Sekuat hati dia menjerit namun tidak juga bertemu dengan anak yang telah diasuhnya sejak setahun lepas itu.

Kini, hanya kenangan bersama arwah menjadi peneman hari-harinya yang akan saban hari merindui insan bernama Zayn Rayyan itu.

“Dia seorang yang lembut-selembutnya, macam bayi baru lahir. Dia tak pernah nak susahkan saya, susahkan sesiapa pun, termasuk mak dia.

“Dia datang rumah saya, masuk dalam, duduk, seperti budak normal. Sampai anak saya tarik tangan ajak main.

“Memang terasa kehilangan itu sangat perit sebab tak boleh terima kenyataan jadi macam ini,” katanya.

Menurut Auni, selepas ini dia pasti akan terbayang Zayn Rayyan di kerusi dan meja kegemarannya.

Dia akan teringat juga spageti goreng, bihun goreng dan ayam masak cili api kegemaran arwah.

Juga terbayang wajah arwah yang berdiri di jendela tatkala hujan, menanti kehadiran ibu untuk membawanya pulang ke rumah.

Bagi ibu mentua Auni Afiqah, Che Zaiton Abd Aziz pula, dia agak rapat dengan Zayn Rayyan malah membahasakan dirinya Umi dengan anak kecil itu.

Kini, tiada lagi anak asuhan yang selalu merebahkan kepala di ribanya.

“Dia akan duduk sebelah saya, baring atas riba saya. Itu memang tak pernah dibuat oleh anak asuhan lain tapi dia satu-satunya anak asuhan yang tinggalkan kesan kepada saya.

“Dia suka duduk macam itu, baring di paha saya. Dia diam saja, macam dalam dunia dia. Saya akan belai-belai kepala dia, tanya dia macam-macam,” ujarnya.

Sebaik jenazah arwah ditemui, Zaiton hilang kata-kata, seakan tidak percaya.

Namun, pedihnya dia rasa, sudah tentu lagi perit perlu ditanggung ibu dan bapa kepada Zayn Rayyan dan kerana itu, dia berpesan kepada semua.

“Kita jaga perasaan ibu dan bapa Zayn juga. Tidak keluarkan apa-apa kenyataan.

“Serahkan kepada pihak berkuasa untuk jalankan apa saja siasatan dan maklumat.

“Kita bukan di kalangan ahli keluarga, jangan buat apa-apa andaian dan buat sesuatu yang tidak sahih,” katanya.

Dalam perkembangan terkini, polis memulakan proses pencarian bahan bukti baharu bagi membantu siasatan pembunuhan termasuk kembali ke lokasi Zayn Rayyan ditemui mati untuk mencari bahan bukti baharu.

Difahamkan, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan Bukit Aman tiba di lokasi Zayn Rayyan ditemui mati di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai sejak pukul 9.30 pagi Jumaat.

Proses pencarian turut diperluaskan bukan sekadar di lokasi penemuan mangsa, malah turut dilakukan melalui saliran air kira-kira 600 meter berhampiran apartment terbabit.

Media turut berkumpul di lokasi penemuan mayat bagi membuat laporan terkini perkembangan siasatan.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kematian Zayn Rayyan diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, kira-kira pukul 10 malam Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram