Besi pengadang tembus kereta, wanita maut tersepit di bahagian pemandu


  • 112
  • Rabu, 06 Dis 2023

Tangkap layar kejadian sebuah kereta jenis Proton Iriz melanggar pembahagi jalan yang berlaku berhampiran SMK Anjung Batu Mersing, Johor pada Rabu.

SEORANG wanita maut selepas terlibat dalam satu kemalangan yang berlaku berhampiran SMK Anjung Batu Mersing, Jalan Jemaluang, Mersing, Johor pada Rabu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor yang menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 6.28 petang terus bergegas ke kawasan berkenaan.

Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Anuar Hussin berkata, kereta jenis Proton Iriz yang dipandu seorang wanita terbabas lalu merempuh pembahagi jalan.

Dalam pada itu, pasukan bomba dan pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak menjalankan operasi penyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pemandu.

Namun, usaha menyelamatkan mangsa berusia 23 tahun itu gagal apabila wanita itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mengulas lanjut, mayat mangsa kini diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram