SEORANG lelaki kritikal selepas dipercayai menjadi mangsa langgar lari sebuah kereta dalam kejadian di Papar, Jalan Pan Borneo, Sabah pada Selasa.
Video kemalangan itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah premis, Ace Delight Food Court yang berada di kawasan berkenaan.
Rakaman yang tular sejak Rabu memaparkan seorang lelaki sedang berjalan kaki dipercayai mahu menyeberang jalan pada ketika itu.
Secara tiba-tiba, sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan laju merempuh lelaki berkenaan sehingga mangsa terseret sebelum terpelanting jatuh di atas jalan.
Turut didengari bunyi dentuman yang kuat datang dari arah kejadian ketika rempuhan berlaku.
Malah, rakaman menunjukkan barangan seperti beg plastik yang dibawa mangsa turut jatuh bersepah ketika dilanggar sebelum pemandu kereta itu memecut meninggalkan tempat kejadian.
Menurut abang mangsa, Saimon Itor, adiknya kini berada dalam keadaan kritikal di Hospital Papar, Sabah.
Susulan itu, Saimon berkata, dia berharap suspek yang merempuh adiknya tampil bagi bertanggungjawab atas kejadian itu.
"Kepada si pelanggar, tolong bertanggungjawab. Hidupmu tak akan tenang kalau kau lari daripada masalah," katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen berasa kejadian itu seperti disengajakan dan berharap pelaku cepat dijumpai.
"Dia langgar tu orang macam langgar anjing," tulis Hidayah Halim.
"Berani langgar tidak berani tanggungjawab, uish geram pula," tulis Ochai Chan.
"Semoga orang yang melanggar itu bertanggungjawab. Cari sampai jumpa. Kalau dia tidak serah diri, dia lagi yang akan kena balik balasan," tulis Vigile Valarie Monalisa Vls.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram