NGO ibu bapa gesa senarai hitam penceramah 'lucah', pengetua perlu mohon maaf


  • Tular
  • Jumaat, 08 Dis 2023

Dalam hantaran mesej tersebut, pelajar berkenaan mendakwa perbuatan itu dilakukan ketika penceramah tersebut berucap di hadapan pelajar berusia 13 hingga 15 tahun. — Gambar hiasan

KUMPULAN Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) meminta Kementerian Pendidikan (KPM) supaya mengambil tindakan sewajarnya berhubung dakwaan tular membabitkan seorang penceramah motivasi yang menggunakan pengisian lawak berbaur lucah ketika aktiviti di sebuah sekolah dekat Putrajaya.

Pengerusinya, Datin Noor Azimah Abdul Rahim, ia termasuk dengan menyenarai hitamkan individu penceramah terbabit daripada memberikan ucapan di mana-mana sekolah di dalam negara.

"Pihak urusan sekolah perlu diberi teguran, tindakan sewajarnya perlu diambil KPM agar tidak ada lagi insiden sebegini di mana-mana sekolah.

"Pengetua sekolah perlu meredakan situasi di sekolah ini dan meminta maaf kepada pelajar terbabit kerana kecuaian sekolah mendedahkan pelajar kepada insiden tidak diingini," katanya kepada Majoriti.

Pada Khamis, Majoriti melaporkan mengenai dakwaan tular di platform X, berhubung tindakan seorang penceramah jemputan di sebuah sekolah di Putrajaya yang menggunakan pengisian lawak berbaur lucah dalam satu sesi ceramah bersama pelajar.

Insiden tersebut didedahkan sendiri oleh pelajar terbabit secara rahsia menerusi pesanan yang dikongsikan kepada sebuah akaun X , @nzranas.

Dalam hantaran mesej tersebut, pelajar berkenaan mendakwa perbuatan itu dilakukan ketika penceramah tersebut berucap di hadapan pelajar berusia 13 hingga 15 tahun.

Interview with G25 members Datin Noor Azimah Abdul Rahim & Tunku Munawirah Putra for Sunday Star.

Pengerusi PAGE, Datin Noor Azimah Abdul Rahim.

Bagaimanapun, pengguna platform X tersebut didapati sudah memadam ciapan tersebut.

"Saya padam ciapan itu kerana beberapa individu yang memiliki autoriti untuk siasat perkara itu sudah tampil. Terima kasih semua yang berkongsikan ciapan tersebut," ujar pengguna tersebut.

Sementara itu, Noor Azimah turut tampil mempersoalkan sama ada terdapat garis panduan disediakan KPM berhubung tatacara dan proses bagi menjemput individu luar bagi memberikan ucapan.

Sekiranya tidak ada, beliau berkata, ia harus diwujudkan agar perkara sama yang berlaku seperti didakwa dalam kes tersebut tidak berulang.

"Sekiranya tidak ada, pihak pengurusan sekolah perlu terlebih dahulu memainkan peranan lebih prihatin. Mereka bertanggung jawab kepada apa yang berlaku di sekolah, baik atau buruk.

"Seseorang yang ingin berucap atau membuat persembahan di sekolah perlu diperiksa terlebih dahulu sebelum diberi kelulusan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram