[VIDEO] Pesara guru meninggal dunia lepas mengadu letih ketika bantu program perkhemahan sekolah di Kedah


  • Tular
  • Khamis, 07 Dis 2023

Guru yang maut sebelum melaksanakan niat murninya untuk membantu menjayakan program perkhemahan di SK Jeneri, Kedah pada Khamis. — Facebook

NIAT murni tidak kesampaian apabila seorang pesara guru secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri ketika menyertai program perkhemahan Sekolah Kebangsaan Jeneri, Kedah pada Khamis.

Mangsa, Nasaruddin Darus, 56, dikatakan mahu membantu program perkhemahan di sekolah berkenaan dilaporkan meninggal dunia selepas mengadu keletihan ketika berehat di atas kerusi.

Pasukan paramedik Bomba dan Briged Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM) dilaporkan berkata, pihak mereka menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.19 pagi Khamis untuk memberi bantuan.

Dalam pada itu, pihak pasukan dilaporkan telah menjalankan beberapa prosedur pemeriksaan seperti bantuan CPR, tekanan jantung, pergerakan nadi, bacaan oksigen, ujian tekanan darah serta pemeriksaan mata.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook Mahadzir Abdul Hamid, kematian mangsa disahkan oleh pihak KKM ketika itu.

Katanya, cikgu Nasaruddin merupakan seorang guru yang aktif dalam pasukan beruniform dan sering terlibat dengan pelbagai siri latihan, perkhemahan dan pengajaran dalam aspek pertolongan cemas.

Sementara itu, kes beliau dikatakan sudah diserahkan kepada pihak polis dan jenazahnya akan dibawa ke unit forensik hospital Sik, Kedah untuk tindakan lanjut.

"Operasi tamat pada pukul 12.04 tengahari. Salam takziah buat mu guru dan seluruh ahli keluarga beliau. Semoga ditempatkan di syurga. Al-Fatihah," katanya.

Dalam pada itu, pihak sekolah SK Jeneri ketika dihubungi Majoriti mengesahkan kejadian terbabit berlaku pada Khamis, namun enggan mengulas lanjut mengenai insiden malang itu untuk menjaga hati keluarga arwah.

Pihaknya juga berharap agar warga maya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram