TEKANAN pada bahagian leher dipercayai punca kematian wanita yang mayatnya ditemui disimen dalam kolah bilik air sebuah rumah sewa di Kampung Pendamar, Klang, Selangor pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, umur mangsa dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, proses bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Shah Alam, Selangor pada Rabu.
Katanya, pakar perubatan forensik tidak dapat memastikan jangka masa kematian mangsa kerana proses perebutan menjadi lambat bagi mayat yang berada dalam persekitaran seperti mana yang ditemui.
Setakat ini identiti mangsa masih belum dikenal pasti.
Sehingga kini, dikatakan seramai 10 orang saksi dirakam percakapan dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti individu-individu yang terlibat bagi membantu siasatan.
Bantuan kedutaan dan Interpol juga dipohon bagi mengesan dua suspek lelaki warga asing dipercayai terlibat dalam kes tersebut.
Salah seorang suspek dipercayai telah kembali ke negara asal pada September lalu manakala seorang lagi masih berada di negara ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-3376 2222 atau mana-mana balai polis berdekatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram