Selekoh maut ragut 17 nyawa penumpang bas di Filipina


  • Benua
  • Rabu, 06 Dis 2023

Pasukan penyelamat Pejabat Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bandar Iloilo di lokasi kemalangan bas di pekan Hamtic, wilayah Antique, tengah Filipina.— Agensi

SEKURANG-KURANGNYA 17 penumpang terbunuh manakala tujuh lagi kritikal, apabila bas dinaiki mereka terbabas di selekoh maut sebelum terjunam dalam gaung di kaki sebuah gunung di tengah Filipina pada Selasa.

Angka kematian adalah lebih rendah berbanding 28 orang yang dilaporkan pada awalnya oleh gabenor wilayah Antik, 450 kilometer ke selatan Manila, tempat kemalangan itu berlaku pada petang Selasa.

Tujuh mangsa berada dalam keadaan kritikal, manakala empat lagi stabil, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik kenyataan Broderick Train, ketua agensi bencana wilayah.

Pasukan kecemasan mengambil masa kira-kira 10 jam untuk menyelamatkan mangsa yang cedera dalam gaung sedalam kira-kira 20 hingga 25 meter di lokasi kemalangan di bandar Hamtic, menurut Train.

"Menurut saksi, bas yang dipandu laju itu hilang kawalan dan merempuh pengadang konkrit dan terjunam ke dalam gaung,” kata Rafael Magbanua, Ketua Agensi Bencana Pihak Berkuasa Tempatan.

Gabenor Wilayah Rhodora Cadiao menggesa Jabatan Kerja Raya dan Lebuhraya supaya mencari penyelesaian tetap bagi kawasan yang terdedah kepada kemalangan itu.

Vallacar Transit Inc, pemilik bas berjanji untuk bekerjasama dalam siasatan, dan secara sukarela menggantung operasi 12 bas sedia ada.

"Pihak pengurusan memberi jaminan kepada orang ramai bahawa semua langkah yang sewajarnya telah diambil bagi memastikan bas kami diselenggara dengan baik dan layak beroperasi," menurut syarikat itu dalam satu kenyataan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram