Baru saja lepas, Sirul Azhar mungkin kembali masuk penjara


Sirul ketika menceritakan kisahnya yang terlibat dalam pembunuhan Altantuya dalam wawancara bersama Al-Jazeera, 101 East baru-baru ini.

BARU sahaja dibebaskan dari tahanan tiga minggu lalu, Sirul Azhar Umar yang terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu pada 2006 berkemungkinan dimasukkan kembali ke dalam penjara di Australia pada tahun depan.

Ia susulan pindaan undang-undang akta imigresen di negara itu yang sudah diluluskan untuk menahan semula Sirul dengan perintah mahkamah.

Pindaan tersebut dikatakan membolehkan kerajaan Australia memohon memenjarakan bekas tahanan sehingga tiga tahun lagi sekiranya mereka pernah disabitkan dengan jenayah kekerasan atau seksual.

msg1050426791-19918

Altantuya Shaariibuu yang dibunuh dengan kejam pada 2006. — Bernama

Pada masa sama, akta itu juga boleh diguna pakai kepada individu yang disabitkan kesalahan sama di luar negara walaupun undang-undang itu dikritik kerana tidak selari dengan perundangan sedia ada.

Untuk rekod, Sirul merupakan salah seorang di antara 148 tahanan asing yang dibebaskan pada November lalu selepas Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa penahanan tanpa had adalah menyalahi undang-undang.

Bagaimanapun, keputusan untuk memenjarakan hanya boleh dilakukan oleh mahkamah jika mana-mana tahanan telah disabitkan dengan jenayah kekerasan atau seksual yang boleh dihukum sekurang-kurangnya tujuh tahun dan jika mempunyai risiko untuk melakukan kesalahan semula.

msg1050426791-19917

Dr Shaariibuu Setev (kanan) ketika perbicaraan kes pembunuhan anaknya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada Januari 2019. — Bernama

Sebagai rekod, Sirul dan rakan sekerjanya, Azilah Hadri, dijatuhi hukuman mati di Malaysia atas tuduhan membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Sirul bagaimanapun bertindak melarikan diri ke Australia pada 2015 selepas keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan dan kemudiannya, Mahkamah Persekutuan mengembalikan semula hukuman mati terhadap mereka berdua.

Sirul kemudiannya dipenjara selama sembilan tahun oleh pihak berkuasa Australia sebelum dia dibebaskan pada November lalu.

Sementara itu, pihak berkuasa Australia kini dilaporkan sedang giat mengawasi keberadaan Sirul dengan alat pemantauan elektronik yang dipasang bersamanya. — The Star/Charles Ramendran

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram