Najib Razak nafi semua dakwaan Sirul tentang kes pembunuhan Altantuya


Najib menafikan kesemua dakwaan yang dilemparkan oleh Sirul berhubung kes pembunuhan Altantuya dalam wawancara bersama Al-Jazeera pada Jumaat. — Bernama

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan semua dakwaan daripada bekas pengawal peribadinya Sirul Azhar Umar, dalam satu wawancara yang disiarkan dalam program Al Jazeera’s 101 East mengenai pembunuhan Altantuya Shaaribuu pada 2006.

Peguam bela dan peguam cara, Shafee and Co berkata demikian dalam satu kenyataan bagi pihak Najib pada Sabtu sebagai respons terhadap dakwaan Sirul bahawa Najib meminta Kerajaan Malaysia melakukan libat urus dengan pihak berkuasa Australia dengan matlamat untuk memudah cara penyerahan balik Sirul ke Malaysia bagi memastikan satu siasatan komprehensif ke atas dakwaannya.

msg1050426791-19349

Sirul ketika membuat dakwaan berkenaan kes pembunuhan Altantuya dalam wawancara bersama Al-Jazeera pada Jumaat.

"Bagi menyokong usaha ini, anak guam kami mencadangkan kepada Kerajaan Malaysia kemungkinan menawarkan jaminan untuk tidak mengenakan hukuman mati bagi memudah cara objektif keadilan dan kebenaran secara meluas.

"Anak guam kami (Najib) mempertahankan kesemua hak perundangan dan remedi dalam perkara ini terhadap Sirul, Al Jazeera dan wartawannya, Mary Ann Jolley, beliau kekal teguh menafikan sebarang penglibatan dalam kematian tragik Altantuya Shaaribuu menerusi jenayah yang amat kejam itu.

"Kami mahu menegaskan bahawa anak guam kami (Najib) telah dilepaskan secara muktamad daripada sebarang penglibatan dalam kes ini.

"Ia disahkan oleh pihak berkuasa berkaitan, termasuk siasatan semula pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 serta disahkan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan menerusi rayuan substantif di Mahkamah Persekutuan yang mendengarnya secara komprehensif berdasarkan merit," katanya.

Shafee and Co juga menekankan bahawa kedua-dua Sirul dan Azilah Hadri tidak pernah menjadi pengawal peribadi khusus untuk Najib dan datang daripada satu kumpulan pengawal peribadi yang digilir-gilirkan antara pemimpin teratas dalam Kabinet semasa itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram