
PEREKA fesyen terkenal, Jovian Mandagie mengumumkan rumah tangga yang didirikan hampir 10 tahun dengan Nina Sabrina yang juga anak bekas Perdana Menteri kesembilan, Ismail Sabri Yaakob, tidak dapat diselamatkan lagi.
Jovian yang sepatutnya meraikan ulang tahun perkahwinan kesepuluh pada 11 Disember ini berkata, dia dan Nina sudah berpisah sejak Ogos lalu.
“Ada perkahwinan yang istimewa dan tercipta seumur hidup tapi perkahwinan kami berkembang kadi persahabatan seumur hidup.
“Pada Ogos kami bersama bersetuju menamatkan perkahwinan kami yang berusia 10 tahun kerana kami percaya itu yang terbaik,” katanya melalui satu hantaran di Instagramnya.
Jovian (kanan) bersama isteri dan anaknya yang kelihatan bahagia di media sosial. — Instagram/Jovian
Malah kata Jovian, 37, keputusan itu dibuat secara baik demi satu-satunya anak mereka, Janielle yang berusia sembilan tahun.
Menurutnya, walaupun perkahwinan itu tidak dapat diselamatkan, hubungan mereka tetap diteruskan dengan persahabatan.
“Kami dapati sebagai sahabat dan ibu bapa Jeanelle, kami berkongsi rasa cinta yang berbeza yang harus kami hargai.
“Memandangkan kebahagian Jeanelle adalah keutamaan, kami sudah lakukan yang terbaik Alhamdulillah.
“Rasa kasih sayang kami kepada ibu bapa dan keluarga tak pernah berubah kami percaya ALLAH sebaik-baik perancang,” katanya.
Pada masa sama, Jovian berkata, apa yang dipaparkan di media sosial sejak empat bulan lalu adalah perkara yang nyata.
“Sementara berita ini tidak dijangka, percayalah kami dalam keadaan yang baik.
“Apa juga anda saksikan di media sosial kami sejak empat bulan lalu adalah perkara nyata.
“Kami tak mungkin akan membenci satu sama lain memandangkan kami pernah berkongsi hidup selama hampir sedekad,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram