Tak mampu sewa rumah, keluarga 5 beranak tinggal dalam kereta berbulan-bulan di sekitar lebuh raya Karak


  • Tular
  • Rabu, 21 Jun 2023

Ab Razak, isteri dan tiga anaknya menjadikan kereta sebagai tempat tinggalnya sejak Januari lalu. — Facebook/EdiArjunaPencerita

SEPASANG suami isteri bersama tiga orang anaknya berusia antara dua tahun hingga lapan tahun terpaksa menjadikan kereta sebagai tempat tinggal mereka selama hampir lima bulan selepas kehilangan tempat tinggal kerana isu keluarga.

Ab Razak Ab Aziz, 42, berkata, keluarganya terpaksa hidup dalam keadaan tersebut sejak Januari lalu dengan dia perlu mencari pendapatan sebagai mekanik kereta jalanan di sekitar lebuh raya antara Gombak, Selangor hingga Karak, Bentong, Pahang.

Menurutnya, disebabkan keperluan kerjanya itu, mereka sekeluarga akan bertukar-tukar tempat untuk bermalam di dalam kereta Proton Wira miliknya antaranya di pam minyak dan kawasan rehat.

"Tempat tidur itu tak menentu. Kadang tengok mana ada kereta rosak malam itu, kalau dekat pam minyak Gombak, dekat situ la kami akan tidur. Esok pagi bangun lepas mandi sarapan apa semua, saya akan ronda pusing balik di sekitar kawasan lebuh raya kalau ada kereta rosak.

"Anak-anak (seorang lelaki dan dua orang perempuan) dan isteri kena ikut sekali. Saya memang tak boleh pisah dengan mereka," katanya ketika dihubungi Majoriti.

Menurut Ab Razak, anak lelaki sulungnya yang berumur lapan tahun juga tidak bersekolah sejak Januari lalu selepas dia mengambil keputusan membawa keluarganya keluar dari rumah mak mentuanya di Gombak.

WhatsApp Image 2023-06-21 at 5.16.20 PM

Kereta Proton Wira milik Ab Razak yang menjadi tempat tinggal dia sekeluarga selama kira-kira lima bulan. — Facebook/EdiArjunaPencerita

Sebelum itu, dia yang juga berasal dari Pertang, Negeri Sembilan berkata, dia dan isterinya, Siti Azeryna Daud, 39 pernah menyewa tetap di sebuah rumah di Kuala Klawang.

Pada waktu itu, Ab Razak berkata, dia hanya bekerja sambilan antaranya sebagai pemotong rumput dan pemandu van sekolah.

Namun begitu, dia mula berhadapan dengan masalah kewangan ketika tempoh pandemik Covid-19 dan menyebabkan dia perlu tinggal bersama keluarga mertuanya itu.

Katanya, sejak perlu berpindah randah tidur di dalam kereta sejak lima bulan lalu, dia ada mempunyai perancangan mengumpulkan duit untuk menyewa rumah, namun hasrat itu sering terkandas akibat pelbagai isu.

Menurut Ab Razak, dia pernah mendapat pertolongan daripada seseorang yang membenarkan keluarganya tinggal bersama di rumah milik individu tersebut di Karak, Pahang, sekitar Mac lalu.

Bagaimanapun, dia berkata, keluarganya hanya kekal tinggal di situ selama kira-kira sebulan selepas terdapat masalah berlaku antara keluarganya dan pemilik rumah terbabit.

Pada masa sama, hasil pendapatan yang diperolehinya daripada pekerjaan dilakukan juga agak kecil dan tidak menentu.

"Bila dah kumpul duit itu, ada sahaja masalah lain timbul. Macam haritu masa kereta saya rosak. Jadi saya nak kena pilih antara nak betul kereta ke atau nak sewa rumah," ujarnya.

Ab Razak berkata, dia kebiasaannya hanya memperoleh sekitar RM130 hingga RM200 sehari daripada khidmat membaiki kereta yang dilakukan dan situasi itu juga bergantung kepada hari-hari tertentu.

Katanya, pendapatan itu hanya cukup-cukup untuk menampung perbelanjaan makan minum, minyak kereta dan keperluan anaknya termasuk bagi membeli lampin.

Dalam pada itu, menurut Ab Razak, isterinya dilihat reda dan hanya mampu menerima segala dugaan yang sedang dihadapi itu.

WhatsApp Image 2023-06-21 at 5.16.20 PM (1)

Masalah ketumbuhan yang dialami Ab Razak sehingga menyebabkan dirinya perlu dirawat dan menjalani pembedahan di Hospital Temerloh, Pahang. — Facebook/EdiArjunaPencerita

"Cuma bila saya tengok isteri dan anak-anak macam itu, bapa mana yang tak terasa sedih sebab kita ni seorang suami dan ketua keluarga. Tapi nak buat macam mana, bila minta kerja susah nak dapat. Jawapan biasa dapat sama ada dah penuh atau suruh tunggu panggilan.

"Jadi sekarang ini, saya terpaksalah buat kerja yang saya boleh buat iaitu tolong orang betulkan kereta," ujarnya.

Pada masa sama, Ab Razak memaklumkan dia kini turut menerima dugaan baharu selepas tidak dapat bekerja kerana perlu diwadkan di Hospital Temerloh, Pahang bermula Khamis apabila disyaki mengalami ketumbuhan di leher.

Katanya, dia dijangka perlu menerima rawatan di hospital selama seminggu dengan pembedahan dijadual dijalankan pada Jumaat ini.

Bagaimanapun, dia memaklumkan pada waktu ini, anak dan isterinya dibantu oleh pihak hospital untuk bermalam di sebuah bilik di pusat kesihatan tersebut sementara menunggu dirinya selesai mendapatkan rawatan.

Mereka yang mahu menyampaikan bantuan boleh menghubungi Siti Azeryna, di talian +60 14-878 0368.

Kisah Ab Razak sebelum itu tular sejak Khamis di sosial media hasil daripada perkongsian seorang pengguna Facebook. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram