[VIDEO] RASMI: Dr Sam menang PRK Kemaman


  • Politik
  • Sabtu, 02 Dis 2023

Dr Samsuri (depan kiri) memenangi PRK Kemaman dengan memperoleh 64,998 undi.

CALON Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menang dengan majoriti 37,220 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Chukai, Terengganu pada Sabtu.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu memperoleh 64,998 undi manakala calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memperoleh 27,778 undi.

Majoriti yang diperoleh calon PAS itu kali ini melebihi 10,041 undi berbanding penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid yang memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Farhan Abdul Wahab di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman, Terengganu pada Sabtu malam.

Ahmad Farhan turut mengumumkan peratusan keluar mengundi adalah 65.76 peratus, dengan 49 pusat mengundi melibatkan 244 saluran mengundi.

PRK Parlimen Kemaman diadakan berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan penyandangnya, Che Alias Hamid dari Pas pada Ahad lalu.

Keputusan itu dibuat selepas Hakim Anselm Charles Fernandis mendapati wujud unsur rasuah dalam kempen PAS di kawasan Parlimen terbabit pada PRU15 pada November tahun lalu.

Pada PRU15, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan menewaskan tiga calon lain iaitu Datuk Seri Ahmad Said (Barisan Nasional), Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) dan Rosli Ab. Ghani (Parti Pejuang Tanah Air). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram