
SERAMAI 49 individu berjaya diselamatkan dan dibawa turun dari Gunung Kinabalu, Sabah selepas hujan lebat pada Isnin menyaksikan laluan pendakian di kawasan tersebut dilanda aliran air deras.
Pengarah Taman Sabah, Dr Maklarin Lakim berkata, usaha membawa turun pendaki itu dilakukan dengan bantuan daripada jurupandu dan porter di lokasi.
Menurutnya, kejadian aliran air deras itu berlaku berikutan hujan lebat yang bermula kira-kira pukul 5.50 pagi Isnin.
"Semua pendaki selamat turun menggunakan denai sama. Tiada kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika dihubungi.
Sebuah video disiarkan di laman Facebook, Mount Kinabalu menunjukkan pendaki sedang dalam perjalanan menuruni laluan pendakian yang dilalui aliran deras air sambil dibantu oleh jurupandu.
Kebiasaannya, pendaki akan memulakan proses naik ke puncak setinggi 4,095m pada kira-kira pukul 2 pagi, untuk sampai ke Low's Peak sebelum matahari terbit.
Mereka kemudiannya akan mula turun selepas pukul 6 pagi.
Kejadian aliran deras di Gunung Kinabalu itu bukan merupakan kejadian kali pertama.
Insiden serupa pernah dilaporkan pada September lalu dan 14 Oktober 2022.
Sebagai langkah keselamatan, pengurusan Taman Sabah akan membatalkan kebenaran pendakian apabila keadaan terlalu berbahaya terutama ketika hujan lebat. The Star/ MUGUNTAN VANAR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram