[VIDEO] Bayi ditemukan di persisiran Queensbay dihanyutkan arus laut sebelum terdampar tepi pantai


  • 112
  • Isnin, 04 Dis 2023

Mayat bayi perempuan tersebut ditemukan oleh orang awam selepas mendapati terdapat bau busuk yang datang dari arah tempat kejadian. — Facebook/PenangPress

MAYAT bayi perempuan ditemukan orang awam di persisiran pantai, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Ahad dipercayai dihanyutkan arus laut sebelum terdampar di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat bayi malang itu dalam keadaan bogel dan sempurna sekitar pukul 5.55 petang.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mayat bayi perempuan yang dijumpai itu disyaki dihanyutkan oleh arus laut sehingga terdampar di tepi pantai tersebut.

"Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, dalam perkembangan terbaharu, Kamarul berkata, kes tersebut yang pada awalnya disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan diklasifikasikan semula kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas proses bedah siasat dijalankan.

Menurutnya, ia selepas hasil bedah siasat dijalankan mendapati punca kematian bayi malang itu adalah kerana luka di bahagian leher.

"Selepas memperolehi keputusan bedah siasat, kita mengklasifikasikan semula kes kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada Ahad, pengunjung di kawasan tumpuan persisiran pantai berhampiran pusat beli-belah Queensbay, Bayan Lepas gempar ekoran penemuan mayat seorang bayi perempuan di lokasi tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram