SEORANG pelajar tingkatan dua ditahan pada Khamis selepas dipercayai membuang bayi di kawasan semak perumahan Lorong 19 Cahaya Damai, Bandar Baru Samariang, Kuching, Sarawak.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pihaknya mengesan dan menahan remaja perempuan berusia 14 tahun itu di kawasan Matang pada pukul 8 malam Rabu.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya.
Ahsmon berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan bayi perempuan itu daripada orang awam pada pukul 9 pagi pada Rabu.
Susulan itu, beliau berkata, pihaknya segera menggerakkan anggota ke lokasi dan mendapati bayi berkenaan masih hidup serta dalam keadaan sihat.
"Bayi berkenaan telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk pemeriksaan lanjut dan akan dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut," katanya.
Video penemuan bayi berkenaan tular di media sosial, yang menunjukkan bayi itu masih hidup dan bertali pusat.
Difahamkan, bayi berkenaan ditemui dalam beg plastik selepas penduduk mendengar tangisannya.
Seorang wanita kelihatan memegang dan membawa bayi itu ke sebuah kedai makan berhampiran, dengan orang ramai yang prihatin membantu membersihkannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram