Polis kesan suspek buang bayi tepi longkang di Ayer Tawar


  • 112
  • Ahad, 26 Nov 2023

Tangkap layar kejadian seorang bayi dibuang berhampiran longkang di Ayer Tawar pada Sabtu.

SEORANG bayi lelaki ditemukan dalam sebuah beg di tepi longkang belakang sebuah kedai di Ayer Tawar dekat Manjung, Perak pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan itu daripada seorang lelaki berusia 45 tahun pada pukul 8.15 malam.

"Bayi lelaki tersebut telah dihantar ke Hospital Seri Manjung dan kini berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk rawatan serta pemantauan lanjut oleh pihak hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Hasil pemeriksaan lanjut oleh doktor mendapati tiada sebarang kecederaan luaran dan bayi itu berada dalam keadaan sihat," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

WhatsApp Image 2023-11-26 at 3.42.02 PM (1)

Bayi itu ditemukan berhampiran sebuah kedai di Ayer Tawar, Manjung.

Mohamed Nordin berkata, pihaknya sedang giat mengesan suspek dan waris bayi itu.

"Pihak polis juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Munawara Ahmad di talian 011-16240391 bagi membantu siasatan pihak polis," katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana ibu bapa yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak di bawah umur kurang daripada 12 tahun, mendedahkan serta membuang kanak-kanak itu dengan niat.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram