[VIDEO] Budak berkopiah tiba-tiba acu pisau, cuba tikam dan samun pemandu warga emas di Sungai Petani


  • Tular
  • Selasa, 28 Nov 2023

Tangkap layar memaparkan suspek sedang duduk di kerusi penumpang sebelum melakukan cubaan samun terhadap pemandu e-hailing tersebut.

TULAR satu video di media sosial pada Isnin memaparkan insiden samun terhadap seorang pemandu e-hailing yang dipercayai berlaku Taman Keladi, Sungai Petani, Kedah

Lebih mengejutkan, menerusi klip tersebut, kegiatan itu dilakukan oleh seorang penumpang yang dilihat sangat muda.

Berdasarkan maklumat dipaparkan pada kamera papan pemuka milik pemandu terbabit, insiden berkenaan difahamkan berlaku pada sekitar pukul 6.20 petang Isnin.

Menerusi video berdurasi lebih seminit itu, suspek yang memakai baju dan berkopiah putih sedang duduk di bahagian belakang tempat duduk penumpang.

Dalam rakaman tersebut, mangsa turut kedengaran membebel selepas suspek dikatakan memintanya untuk berhenti berulang kali di beberapa destinasi walaupun tidak berhasrat untuk turun.

Bagaimanapun, sebaik pemandu tersebut memberhentikan kenderaan untuk menurunkannya, suspek dilihat mengeluarkan alat dipercayai pisau dan cuba menikam ke arah dada pemandu terbabit.

Bagaimanapun, suspek dilihat bergelut selepas pemandu lelaki berkenaan didapati cuba menangkis serangan dilakukan.

"Kejadian di Sungai Petani, Kedah. Harap-harap pisau itu tak tertusuk ke dalam. Allahuakbar. Budak-budak lagi dah berani," tulis ciapan yang berkongsikan video tersebut di platform X.

Usahanya untuk mengambil duit daripada mangsa juga gagal dengan pemandu berkenaan turut dilihat berjaya merampas pisau tersebut.

Situasi itu menyebabkan suspek panik dan terus melarikan diri.

Tidak dapat dipastikan sama ada mangsa mengalami sebarang kecederaan akibat serangan terbabit.

Setakat laporan ini ditulis, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram