PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu memberi jaminan bahawa kerajaan bersedia meningkatkan jumlah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi menampung kerugian rakyat sekiranya penyusunan semula subsidi memberi kesan khususnya kepada golongan rentan dan miskin.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sejak pengapungan harga ayam dilaksanakan 1 November lepas, ia didapati berhasil dan beliau yakin penyasaran semula subsidi yang akan dilaksanakan tidak memberi kesan kepada 90 peratus rakyat.
Beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, ia memandangkan penarikan subsidi itu hanya melibatkan 10 peratus golongan 'maha kaya' dan 3.5 juta warga asing yang selama ini menikmati pemberian subsidi kerajaan.
"Subsidi kepenggunaan pada 2022 sahaja berjumlah RM77.3 bilion yang meliputi subsidi petrol, diesel, gas asli cecair (LNG), minyak masak, tepung dan elektrik, lantas menjadikan ia jumlah subsidi tertinggi dalam sejarah.
Sekitar Kongres PKR yang berlangsung di PICC Putrajaya pada Sabtu. — Bernama
"Untuk 2023 pula, subsidi mencecah RM81 bilion kalau tidak ditangani segera. Pendekatan subsidi bersasar akan terus diambil, tetapi kerajaan tetap menyediakan jaringan keselamatan yang lebih efektif untuk golongan rentan dan miskin," katanya.
Sehubungan itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada pimpinan parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan dan Jemaah Menteri kerana terus setia untuk memastikan agar kerajaan ketika ini kekal inklusif dan mewakili semua kaum serta wilayah.
"Pelbagai telahan dan tohmahan telah dilontarkan, saya ingin tegaskan semula bahawa dalam perundingan awal (Kerajaan Perpaduan) yang ditekankan adalah prinsip dan hala tuju negara, tatakelola yang baik, membanteras rasuah, memacu pertumbuhan ekonomi.
"Ini dasar dan saya ucapkan terima kasih kepada rakan kerana setia dengan prinsip ini, " katanya.
Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, Kerajaan Perpaduan juga tidak akan 'tergopoh-gapah' dalam melaksanakan agenda reformasi kerana mengambil pendekatan daripada sejarah dunia dan pengalaman PH pada 2018.
"Walaupun terdapat golongan elit berkata kita perlahan dalam kemajuan reformasi tetapi percayalah, belajar daripada pengalaman yang lalu. Kalau kita gopoh, baik dalam soal pelaksanaan Islam atau dalam pelaksanaan agenda reformasi ini, kita akan ditolak rakyat,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu berhemah dan bijaksana dalam mengukur keupayaan sendiri dan penerimaan majoriti rakyat kerana tiada semua masalah negara dapat diselesaikan dalam masa setahun.
Anwar juga menegaskan, Kerajaan Perpaduan tidak akan mengizinkan negara ini diperkotak-katikkan atas nama agama dan kaum selain tidak berkompromi dengan pihak yang memainkan isu perkauman termasuk isu meritokrasi kerana kerajaan ini berikrar untuk menjaga kebajikan semua kaum.
Turut hadir dalam kongres berkenaan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor dan Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Kongres yang berlangsung dua hari bermula Sabtu, mengangkat tema 'Memaknai Reformasi, Menjulang Madani'. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram