[VIDEO] 'Duyung' hampir lemas dalam akuarium pantas cabut ekor selamatkan diri


  • Benua
  • Jumaat, 01 Dis 2023

Kostum ekor duyung yang tersangkut di salah satu terumbu karang ketika persembahan di dalam akuarium di Afrika Selatan pada 25 November lepas.

LUMRAH bekerja, pastinya ada risiko dan bahaya tersendiri yang tidak terjangkau dek akal.

Malang sememangnya boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana juga anda berada.

Begitu juga dengan seorang wanita yang berdepan detik-detik cemas apabila hampir lemas ketika sedang melaksanakan tugasnya di pusat beli-belah Randburg, Afrika Selatan pada 25 November lalu.

Wanita bernama Gabriela Green Thompson Kay yang bekerja sebagai penghibur dengan memakai kostum ikan duyung itu bagaimanapun bertindak pantas menyelamatkan dirinya ketika kejadian.

Menerusi video yang sempat dirakam oleh orang awam ketika itu, hujung kostum itu dilihat tersangkut pada salah satu terumbu karang di dalam akuarium tempatnya melakukan persembahan itu.

Pada masa sama, dia dilihat tidak mengambil masa lama dan terus mencabut kostum duyungnya itu dan berenang ke permukaan air sejurus sedar tentang kejadian tersebut.

Katanya, dia berada dalam keadaan sihat dan tidak lupa untuk mengingatkan orang ramai agar mementingkan keselamatan, lapor The Strait Times.

Dalam pada itu, Insyirah Moidu, 28, yang juga bekerja dalam bidang sama berkata, penyelam profesional dan isyarat tangan merupakan antara langkah-langkah keselamatan yang penting apabila melakukan persembahan di dalam akuarium.

"Teknik yang digunakan oleh Gabriela untuk menyelamatkan diri itu dipanggil sebagai 'pemindahan ekor'. Penghibur lazimnya menggunakan dua jenis kostum iaitu ekor fabrik dan ekor silikon.

"Saya tidak membuat persembahan dengan ekor silikon atas sebab keselamatan kerana tiada sistem pelepasan pantas itu. Ekor silikon juga adalah seperti kulit kedua, jadi ia mengambil sedikit masa untuk mencabutnya," katanya.

Sementara itu, video yang dikongsikan di TikTok Gabriela juga meraih perhatian ramai sehingga mendapat 4.2 juta tontonan dan 142,000 tanda respons. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram