SETELAH tiga tahun menyepi, nama Nana Sheme kembali hangat apabila dia mulai mengeluarkan lagu terbaharu berjudul Aku Mencoba.
Penyanyi bersuara lunak itu dahulunya terkenal dengan lagu Hantu Atau Buaya, Santai, Ragu-Ragu, Cemburu dan Bersama You 2.0.
Lagu tersebut merupakan buah tangan pertama yang diciptakan bersama suaminya, Zikri Zakaria yang juga merupakan penerbit muzik.
"Saya sudah tiga tahun tidak keluarkan lagu jadi gementar bila fikir apa orang di luar sana rasa tentang lagu baharu ini.
"Harapnya lagu ini mampu mendapat tempat di hati peminat," katanya.
Nana Sheme kembali dengan lagu terbaharu selepas menyepi selama tiga tahun.
Lagu yang berjaya ditulis hanya dalam tempoh satu malam itu mengisahkan tentang perjuangan di sebalik kehidupan penuh ujian.
Diambil dari kisah nyata, Nana berkata, lagu tersebut berkaitan dengan kehidupan yang perlu dihadapi kebanyakan orang pada zaman sekarang.
Membawa kelainan daripada sebelumnya, Nana berkata, ia merupakan kali pertama dia mendendangkan lagu berentak indo pop berbeza dengan irama sebelum ini yang lebih berentak catchy dan pop.
Bercakap soal perkembangan kehidupan, Nana menjelaskan dia masih belum mempunyai merancang untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat selepas berkahwin dengan produser muzik hebat itu pada Oktober 2022.
Dalam pada itu, Nana turut mengulas isu rumah tangga yang semakin menjadi bualan netizen di Malaysia selepas beberapa kontroversi berkaitan curang dan poligami tular di media sosial.
Dia mengakui pernah menangis selama dua malam disebabkan menonton video pencipta kandungan TikTok, Abang Tesla yang menunjukkan isteri pertamanya bersetuju untuk dimadukan.
Malah dia juga terkejut apabila isu hampir sama berlaku kepada rumah tangga seorang pempengaruh media sosial selepas individu terbabit mengambil keputusan untuk menikahi wanita lain yang juga merupakan pekerja mereka.
Nana mendirikan rumah tangga bersama Zikri pada Oktober 2022.
Bercakap soal isu rumah tangga, Nana turut memberi pandangan terhadap isu poligami tular yang berlaku antara influencer terkenal, Aliff Teega dan isterinya, Aisyah Hijanah.
Sebagai wanita bergelar isteri, dia mengakui terkesan dengan situasi itu dan mengakui risau sekiranya kejadian sama berlaku kepada diri sendiri.
"Nana takut mahu komen isu itu, takut terkena batang hidung sendiri.
"Kalau orang lain mungkin ada yang okay untuk dimadukan, tapi kalau saya minta dijauhkan," ujarnya.
Nana turut memberi pesanan buat golongan wanita yang sedang mengalami permasalahan rumah tangga akibat wujudnya orang ketiga.
"Kadang-kadang tidak mengapa jadi selfish bila fikir anak, kalau cara terbaik perlu ambil apa-apa tindakan, buat sahaja untuk melindungi diri sendiri.
"Jangan terus menerus sakiti diri, perempuan boleh!," katanya sebagai semangat buat isteri-isteri di luar sana yang melalui situasi tersebut.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram