[VIDEO] Tiga cedera bumbung pusat beli-belah di PJ runtuh, pengunjung cemas lari selamatkan diri


  • Tular
  • Sabtu, 28 Okt 2023

Keadaan bumbung yang runtuh dalam kejadian dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu. — Facebook/ArielKusriniAriel

TULAR video satu kejadian bumbung runtuh membabitkan sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor yang dipercayai berlaku pada Sabtu.

Lebih mengejutkan, klip berdurasi 37 saat itu memaparkan masih terdapat pengunjung yang berada berdekatan ketika runtuhan berkenaan berlaku.

Beberapa orang pengawal keselamatan dilihat turut meminta kepada kumpulan berkenaan untuk keluar daripada bangunan tersebut.

Pada masa sama, beberapa pengunjung juga didengar menjerit ketakutan dan bergegas berlari ke kawasan selamat.

Menerusi maklumat awal yang diperoleh di sosial media, kejadian tersebut dipercayai terjadi akibat daripada cuaca hujan lebat dan angin kuat di kawasan berkenaan.

Setakat laporan ini ditulis, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden tersebut termasuk membabitkan kecederaan yang berkemungkinan menimpa pengunjung di lokasi.

Dalam pada itu, pihak pengurusan pusat beli belah terbabit iaitu Megah Rise Mall mengesahkan mengenai kejadian berkenaan yang berlaku kira-kira pukul 3 petang Sabtu.

Menurut kenyataan di hantaran Facebook rasminya, ia memaklumkan insiden yang berlaku berdekatan pintu masuk pusat beli-belah tersebut mengakibatkan kecederaan ringan terhadap tiga individu.

"Kami sedang menyiasat punca kejadian dan sedang mengambil tindakan segera untuk mengurus dan menangani situasi tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dilapor akan memulakan siasatan berhubung insiden keruntuhan pada sebahagian siling di pusat beli-belah terbabit.

“MBPJ akan menyiasat perkara itu kerana ini adalah perkembangan yang agak baharu,” kata Ahli Majlis MBPJ, Sakinah Bibi Nagoor ketika dihubungi The Star.

Megah Rise Mall merupakan sebuah pusat membeli-belah yang mesra haiwan peliharaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram