PENDUDUK di Bandar Baru Samariang, Kuching, Sarawak pada Rabu gempar susulan penemuan seorang bayi kecil yang dijumpai masih hidup ditinggalkan di kebun berhampiran sebuah kawasan perumahan.
Bayi perempuan tersebut difahamkan baru sahaja dilahirkan kerana ia masih bertali pusat.
Insiden penemuan itu dikongsikan sendiri oleh seorang penduduk yang dipercayai merupakan penghuni rumah di hadapan lokasi tersebut.
"Tengah dodoi anak tidur tadi sebelum terdengar suara orang riuh di luar. Ingatkan kemalangan jalan raya atau orang jumpa ular di kawasan depan rumah.
"Rupa-rupanya orang jumpa bayi dekat depan pokok rumah saya. Sampai hati mak dia buat macam itu. Nasib bayi itu masih hidu," tulis Nordiayana Kh yang turut memuat naik video penemuan bayi itu di Facebooknya.
Sementara itu, menerusi maklumat diperolehi daripada orang awam, bayi berkenaan ditemukan dalam keadaan dihurung semut dengan badannya juga didapati kemerahan ekoran digigit serangga terbabit.
Pada masa sama, difahamkan bayi berkenaan juga sudah dihantar ke hospital terdekat untuk menerima rawatan manakala laporan polis turut sudah dilakukan oleh orang awam berhubung insiden berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram